
Mayat enam sekeluarga yang dipercayai hilang sejak Sabtu lepas, ditemukan di dalam sebuah kereta di dalam Sungai Korok, Jitra pada Isnin.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, mayat terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, tiga kanak-kanak dan seorang bayi.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kereta terjatuh di dalam sungai tersebut pada jam 8.38 pagi tadi.
“Dimaklumkan sebuah kereta jenis Proton Iswara Sedan berada di dalam sungai dan terdapat enam mangsa, iaitu seorang lelaki, seorang wanita, tiga kanak-kanak dan seorang bayi di dalam kenderaan itu.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan dan proses pengecaman mangsa dilakukan oleh waris mangsa,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan enam beranak termasuk seorang bayi berusia enam bulan dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi oleh ahli keluarga yang lain sejak Sabtu.
Kehilangan Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, isterinya, Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, serta empat anak mereka berusia enam bulan hingga sembilan tahun itu disedari apabila tidak pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah ahli keluarga yang lain di Taman Aman di Jitra.
ARTIKEL LAIN
#Tips: Jangan panik!, ikuti langkah ini apabila kereta terjunam ke dalam sungai…