
Tragedi dua beradik berusia enam dan lapan tahun yang maut selepas kereta dinaiki terjunam ke Sungai Linggi, Tanjung Agas pada Khamis kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, ibu bapa mangsa yang berusia 46 dan 41 tahun ditahan selepas memberi keterangan meragukan berhubung kejadian tersebut.
“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk empat kes yang masih dikehendaki, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Ujian air kencing terhadap kedua-dua mereka didapati negatif, namun pemeriksaan terhadap kereta yang digunakan mendedahkan ia merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang dalam satu laporan polis di Nusa Bestari, Johor pada tahun 2022,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban untuk permohonan reman.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-647 2222 atau pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Husairin Che Hussin di talian 012-965 4927.
ARTIKEL LAIN