
Tinjauan bagi Tan Chong Motor Holdings Bhd kekal lemah, dengan daya tarikan produk yang suram dan persaingan semakin sengit terus menekan segmen automotif, demikian menurut penganalisis.
Penganalisis Maybank Investment Bank (Maybank IB), Loh Yan Jin berkata pemangkin potensi untuk penilaian semula saham syarikat itu termasuk pelancaran produk baharu atau kejayaan dalam kontrak pemasangan, namun tahap daya majunya kekal terhad.
“Kami kekal neutral terhadap langkah mencairkan nilai simpanan tanah, kerana hasilnya disalurkan kepada modal kerja dan perbelanjaan modal, bukan pulangan kepada pemegang saham, yang berpotensi menjejaskan nilai jika kerugian berterusan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Tan Chong melaporkan kerugian bersih teras sebanyak RM60.3 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, sejajar dengan unjuran kerugian Maybank IB sebanyak RM147.3 juta dan konsensus sebanyak RM152.1 juta.
“Kami mengekalkan unjuran pendapatan tetapi menurunkan harga sasaran saham kepada 36 sen, daripada 38 sen,” katanya sambil menambah Maybank IB mengekalkan saranan ‘jual’ saham Tan Chong memandangkan prospek masih mencabar.
PENDAPATAN SEPARUH TAHUN PERTAMA 2025 SUSUT 2 PERATUS
Pendapatan Tan Chong bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 susut dua peratus tahun ke tahun kepada RM1.092 bilion, diseret oleh penurunan 26 peratus jualan Nissan (3,395 unit).
Pertumbuhan di Vietnam, Kemboja, Laos, dan Myanmar sedikit sebanyak mengimbangi kelemahan domestik.
Akibatnya, kerugian bersih teras bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2025 meningkat kepada RM60.3 juta berbanding RM51.3 juta pada tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Mengikut perbandingan suku ke suku, pendapatan suku pertama tahun kewangan 2025 jatuh tiga peratus apabila jualan Nissan di Malaysia jatuh 16 peratus.
Walaupun jualan luar negara meningkat, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) menyusut, berkemungkinan disebabkan kerugian tukaran mata wang asing.
Tidak termasuk item luar biasa (kerugian RM42.5 juta dalam suku kedua tahun kewangan 2025 daripada kerugian belum direalisasi tukaran asing dan pelupusan/penurunan nilai aset berbanding keuntungan RM48.6 juta dalam suku pertama daripada keuntungan nilai saksama hartanah pelaburan), kerugian bersih teras mengecil kepada RM15.8 juta dalam suku kedua tahun kewangan 2025 daripada RM44.5 juta dalam suku pertama.