Kereta gelongsor masuk sungai, dua beradik lemas

132

Dua kanak-kanak maut selepas kereta yang dinaiki bersama ibu mereka menggelongsor masuk ke dalam sungai berhampiran Jambatan Tanjung Agas, Teluk Kemang pada Khamis.

Ketika kejadian, Nissan Teana yang diparkir berhampiran tebing sungai dalam keadaan enjin tidak dihidupkan, secara tiba-tiba menggelongsor ke dalam air menyebabkan ibu dan dua anak yang berada di dalam kenderaan itu terjatuh bersama ke sungai.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika empat sekeluarga terdiri daripada pasangan suami isteri bersama dua anak mereka sedang bersantai di kawasan tersebut.

“Lelaki dewasa itu memaklumkan bahawa semasa kejadian, dia keluar dari kereta untuk merokok, manakala isteri serta dua anak mereka yang masing-masing berusia enam dan lapan tahun berada di dalam kenderaan.

“Tiba-tiba, kereta itu menggelongsor ke arah sungai. Ketika itu air surut dan mangsa yang berada di dalam kenderaan menjerit meminta tolong,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Maslan berkata, orang awam yang berada berhampiran segera bertindak membantu dan berjaya menyelamatkan wanita berusia lingkungan 40-an.

Bagaimanapun, dua anak mereka tenggelam bersama kenderaan berkenaan.

“Pasukan penyelamat berjaya membawa naik kanak-kanak perempuan itu sekitar jam 1.30 petang, manakala adiknya kira-kira 20 minit kemudian.

“Kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan selepas usaha menyelamat melalui CPR gagal,” katanya.

SUDAH MEMANCING DUA ATAU TIGA HARI LALU DI LOKASI KEJADIAN

Menurut beliau, siasatan awal mendapati keluarga itu dipercayai telah berada di kawasan berkenaan sejak dua atau tiga hari lalu untuk berehat dan memancing.

“Kereta tersebut diparkir kira-kira 10 meter dari tebing sungai dalam keadaan enjin tidak dihidupkan. Kejadian ini dipercayai berpunca daripada masalah teknikal pada kenderaan.

“Kenderaan itu ditemui di dasar sungai pada kedalaman kira-kira empat meter dalam keadaan terbalik dengan kedua-dua mangsa masih berada di dalamnya,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan bedah siasat akan dijalankan di Hospital Port Dickson.

Operasi menyelamat turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here