
Honda sedang merancang untuk memindahkan produksi skuter elektrik UC3 daripada Thailand ke Vietnam seawal bulan September.
Jika dilihat dari satu sudut, Honda mungkin sedang mempertimbangkan pengganti elektrik yang bersesuaian untuk barisan model Super Cub sedia ada.
Selain itu, langkah ini juga bertepatan dengan situasi semasa di mana Vietnam bakal mengharamkan penggunaan motosikal petrol di pusat bandar bermula Julai ini.
Honda UC3 merupakan skuter elektrik yang telah dilancarkan di Thailand dan Vietnam.
Ia membawakan tetapan motor elektrik 6 kW (8 hp) menyamai skuter petrol 110 cc, bateri lithium iron phosphate dan jarak tunggangan sejauh 122 km untuk sekali cas penuh.
Selain itu, Honda Vietnam menyasarkan harga jualan yang mampu bersaing dengan skuter elektrik paling laris terjual di negara itu, dengan harga jualan di bawah 30 juta dong (RM4.7 ribu).
Dengan binaan yang ringkas, harga jualan yang lebih berpatutan dan kos penyelenggaraan lebih murah, Honda berharap model ini mampu meneruskan warisan yang ditinggalkan oleh Super Cub.
Vietnam kekal sebagai salah sebuah pasaran motosikal terbesar di dunia.
Sejak tahun 2023, jualan tahunan motosikal dua roda (termasuk model elektrik) dicatatkan antara 2.5 juta hingga 2.65 juta unit.
Biarpun penggunaan motosikal elektrik kian meningkat, permintaan terhadap motosikal berkuasa petrol masih lagi memberangsangkan.
Sementara itu, Honda merancang untuk melancarkan sekitar 30 model motosikal elektrik di peringkat global dan mencapai jualan tahunan sebanyak 4 juta unit menjelang 2030.
Syarikat itu juga telah mengenal pasti pasaran India dan Asia Tenggara sebagai titik permulaan untuk perancangan tersebut berjaya.


































