TIGGO 8 PHEV tawar pilihan pemanduan hibrid generasi baharu

4

Selepas meraih populariti menerusi model TIGGO 7 PHEV, Chery Malaysia memperkenalkan pula versi TIGGO 8 PHEV yang sudah memasuki pasaran Malaysia secara rasmi.

Model SUV PHEV ini adalah unit pemasangan tempatan (CKD) yang dikeluarkan di kilang Inokom di Kulim, Kedah.

Seperti TIGGO 7 PHEV, SUV PHEV segmen-D ini turut menerima unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) generasi baharu dari siri Chery Super Hybrid.

Bagi pasaran tempatan, ia ditawarkan pada harga RM159,800 tanpa insurans.

TIGGO 8 PHEV menggunakan unit rangkaian kuasa Chery Super Hybrid (CSH) generasi baharu, di mana sistem ini menampilkan enjin petrol kitaran Miller 1.5 liter turbo baharu dengan output 143 PS (105 kW) dan tork maksima 215 Nm.

Enjin ini hadir dengan sistem suntikan bahan api terus yang dibina khas untuk digandingkan dengan sistem hibrid, menampilkan keberkesanan suhu mencecah 44.5 peratus.

Ia dipadankan dengan transmisi khas hibrid DHT tiga-kelajuan dan juga dua motor elektrik bersama kuasa 204 PS (150 kW) dan tork 310 Nm, yang menerima tenaga elektrik dari bateri LFP 18.3 kWj.

Kemampuan ini memberikan keseluruhan kuasa mencecah 279 PS (205 kW) dan tork maksima 365 Nm yang memacu sepenuhnya roda hadapan.

SUV PHEV ini juga diberikan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 18.3 kWh yang mampu memacu jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 90 km, dengan sokongan pengecasan AC yang mampu memberikan pengecasan penuh dalam tempoh tiga jam, manakala jika menggunakan pengecas pantas DC pula, hanya mengambil masa sekitar 19 minit untuk mencapai status pengecasan antara 30-80 peratus.

Ia juga boleh dicas penuh menggunakan palam tiga-pin biasa yang memerlukan sekitar 8.5 jam untuk memenuhkan bateri.

Mod hibrid pula mampu membawa kepada jarak pemanduan maksimum – dengan tangki bahan api 60 liter – sehingga 1,200 km mengikut piawaian WLTP.

Jika kadar cas bateri berada antara 25-100 peratus, penggunaan bahan api yang direkodkan adalah 1.3L/100 km, manakala dengan tahap cas bateri rendah di bawah 25 peratus, penggunaan bahan api masih boleh mencecah 4.9L/100 km.

TIGGO 8 PHEV memiliki dimensi berukuran 4,725 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,705 mm tinggi dengan jarak roda cecah 2,710 mm serta seberat 1,916 kg.

Untuk imej penampilan luaran, TIGGO 8 PHEV kelihatan lebih matang, diserlahkan dengan lampu hadapan baharu, gril dengan kerangka krom lebih nipis dan rekaan bampar yang menampilkan tirai udara sebenar pada kedua-dua sisi.

Pada bahagian sisi, TIGGO 8 PHEV ditampilkan dengan pembuka pintu jenis tersorok ke dalam dan dipadankan bersama rim aloi bersaiz 19-inci dibaluti tayar profil 235/50 R19.

Manakala untuk kemasan bahagian belakang, rekaan lampu masih hampir sama dengan model petrol sepenuhnya, cuma dibezakan dengan bahagian kemasan diffuser lebih menonjol di bawah bampar, manakala tip ekzos bulat berkembar sebenar digantikan perumah tip ekzos berbentuk leper.

Tidak seperti TIGGO 7 PHEV yang disertakan pintu tailgate kuasa, untuk TIGGO 8 PHEV ini sekadar diberikan pintu tailgate manual sahaja.

Untuk bahagian kabin, ia kelihatan mirip dengan TIGGO 8 Pro e+, namun perbezaan utama pada papan pemuka baharu yang diberikan ‘paparan yang dipisahkan’ iaitu unit paparan utama 15.6-inci dan meter kluster instrumen 10.25-inci.

Selain itu, konsol tengah direka semula lebih tinggi dan bersambung dengan corong udara tengah.

Ciri lain termasuk pemilih gear jenis putar (rotary gear selector), pad pengecas telefon pintar tanpa wayar diposisikan secara menegak membolehkan satu lagi ruang untuk meletakkan telefon pintar di sebelahnya, tempat duduk pemandu larasan kuasa 6-hala dengan fungsi memori (4-hala untuk tempat penumpang hadapan), sistem bunyi Sony Premium Audio dengan 10-pembesar suara, upholsteri hitam dengan pelapik bumbung berwarna kelabu, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kamera panoramik HD 540° dan cermin pandang belakang auto-malap tanpa bingkai.

Untuk aspek keselamatan dan bantuan pemandu, TIGGO 8 PHEV diberikan lapan beg udara, ABS dengan EBD, bantuan mula mendaki dan kawalan menurun cerun, penderia parkir hadapan dan belakang, pemantau tekanan angin tayar, sistem bantuan brek, program kestabilan elektronik, sistem kawalan cengkaman dan pemantau tekanan angin tayar.

Selain itu, ia dilengkapi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) merangkumi amaran ketibaan lorong, bantuan menukar lorong, bantuan kekal lorong, pengesan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, brek trafik lintasan belakang, amaran pelanggaran hadapan dan belakang, kawalan keluncuran adaptif, kawalan keluncuran bersepadu, bantuan kesesakan trafik, amaran membuka pintu, peringatan had kelajuan, sistem pemantauan keletihan pemandu dan sistem pengelak pintar.

Chery TIGGO 8 PHEV ditawarkan dengan tiga pilihan warna luaran iaitu Aurora Green, Khaki White dan Carbon Black.

Dengan harga atas jalan RM159,800 tanpa insurans, ia hadir dengan waranti kenderaan tujuh tahun atau 150,000 km, waranti lapan tahun atau 160,000 km untuk bateri, motor dan unit kawalan hibrid dan selenggara percuma untuk lima tahun (hanya enam kali kos buruh percuma).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here