
QJMOTOR Malaysia mengukuhkan jenamanya dalam segmen motosikal supersport berprestasi tinggi menerusi pelancaran rasmi dua model terbaharu – QJMOTOR SRK450RR dan QJMOTOR SRK250RD – untuk pasaran domestik.
Jentera ini tersedia bagi penunggang yang mahukan prestasi enjin berkelajuan tinggi, teknologi perlumbaan moden serta pengalaman tunggangan hampir setara jentera litar.
Model berkenaan boleh didapati di pasaran Malaysia bermula hari ini dan terdapat di semua pengedar sah Mforce di seluruh negara, sekali gus mempelbagaikan pilihan motosikal supersport dalam kategori empat silinder dalam pasaran.

QJMOTOR SRK450RR ditawarkan pada harga RM25,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dengan pilihan warna Black, Silver dan Red.
Model ini dikuasakan enjin 4-silinder, 16-injap DOHC dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 421 cc.
Enjin itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 57 kW pada 14,000 rpm dan tork puncak 39.0 Nm pada 13,000 rpm.

Ia dipadankan dengan sistem suntikan bahan api EFI, klac basah berbilang plat, penghidup elektrik serta transmisi pacuan rantai, selain tangki bahan api berkapasiti 16.5 liter.
SRK450RR menggunakan fork terbalik Marzocchi di bahagian hadapan serta penyerap hentak belakang jenis gegelung teleskopik dengan redaman minyak.
Kombinasi ini direka tujuan kestabilan dan ketepatan kawalan pada kelajuan tinggi.
Sistem brek pula didatangkan dengan cakera berkembar Brembo bersaiz 300 mm di hadapan dan cakera 240 mm di belakang, disokong ABS dua saluran.

Tayar bersaiz 120/70 ZR17 di hadapan dan 160/70 ZR17 di belakang melengkapkan pakej cengkaman jentera ini.
Teknologi SRK450RR dilengkapi paparan meter TFT, port USB Type-A dan Type-C, lampu LED penuh dengan DRL, Traction Control System boleh laras, kamera rakaman hadapan dan belakang serta Launch Control.
Turut ditawarkan sambungan Bluetooth, Carbit Ride, Screen Mirroring Android dan iOS, navigasi terbina, TPMS, winglet, windshield serta dua mod tunggangan iaitu Normal dan Sport.
Dari segi dimensi, motosikal ini mempunyai panjang 2,020 mm, lebar 755 mm, tinggi 1,130 mm dan berat kering 176 kg.

QJMOTOR SRK250RD pula ditawarkan pada harga RM21,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dengan pilihan warna White, Red dan Black.
Model ini menggunakan enjin 4-silinder, 16-injap DOHC, penyejukan cecair bersesaran 249 cc.
Enjin itu mampu menjana kuasa maksimum 30.0 kW pada 15,500 rpm serta tork puncak 22.0 Nm pada 12,500 rpm, dipadankan dengan sistem EFI, klac basah berbilang plat, penghidup elektrik dan transmisi pacuan rantai.
Tangki bahan api pula berkapasiti 16 liter.
Untuk tujuan pengendalian, SRK250RD turut menggunakan fork terbalik Marzocchi di hadapan dan penyerap hentak belakang jenis gegelung teleskopik dengan redaman minyak.

Sistem brek menggunakan cakera berkembar Brembo 320 mm di hadapan dan cakera 240 mm di belakang, lengkap dengan ABS dua saluran.
Ciri teknologi merangkumi paparan TFT, USB Type-A dan Type-C, lampu LED penuh, TCS boleh dihidupkan atau dimatikan, kamera hadapan dan belakang, TPMS, winglet, windshield, Launch Control, Bluetooth, navigasi serta Screen Mirroring untuk Android dan iOS.
Setiap pembelian QJMOTOR SRK250RD dan SRK450RR hadir dengan jaminan pengeluar selama dua tahun dengan perbatuan tanpa had.
Pemilik juga mendapat akses kepada alat ganti tulen secara dalam talian menerusi platform perkhidmatan Mforce Bike Holdings Sdn Bhd.
Kehadiran model supersport ini dijangka memperkukuh kedudukan QJMOTOR dalam segmen motosikal berprestasi tinggi tempatan.





























