
Dua orang maut selepas sebuah kren pembinaan runtuh ke atas lebuh raya di Thailand, sehari selepas insiden kren jatuh di timur laut, Thailand yang meragut 32 nyawa.
Kren tersebut sedang digunakan untuk membina sebuah lebuh raya ekspres di Samut Sakhon, kawasan pinggir bandar Bangkok.
Rakaman video menunjukkan detik kren berkenaan menghempap lebuh raya, meremukkan beberapa buah kenderaan lalu meninggalkan kepulan debu serta serpihan di belakangnya.
Kejadian kren runtuh pada Rabu di wilayah timur laut Nakhon Ratchasima pula menyaksikan sebuah kren jatuh di atas kereta api yang sedang bergerak, menyebabkan lebih 60 orang cedera.

Kerja-kerja pembinaan dalam kedua-dua insiden tersebut dikendalikan oleh syarikat yang sama, Italian-Thai Development iaitu salah sebuah syarikat pembinaan terbesar di Thailand.
Italian-Thai Development dalam satu kenyataan kepada bursa saham Thailand pada petang Khamis merakamkan ucapan takziah kepada mangsa yang cedera dan keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tersebut.
Syarikat itu akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memberikan pampasan dan telah memulakan proses penilaian kerugian.
“Pihak syarikat akan menyemak semula dan menambah baik langkah-langkah keselamatan agar lebih teliti dan ketat pada masa hadapan,” tambah kenyataan itu lagi.
Kira-kira 150 orang telah terkorban dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini melibatkan pelbagai kemalangan projek penambahbaikan jalan dari Bangkok hingga ke selatan negara itu.
Lebuh raya ekspres tempat kejadian runtuhan pada hari Khamis itu telah digelar sebagai “Jalan Maut” disebabkan oleh beberapa kemalangan yang berlaku di sana sejak kebelakangan ini, lapor agensi berita AFP.
PM : Batalkan kontrak kontraktor

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata beliau akan menangani isu kecuaian dalam pembinaan selepas kemalangan pada hari Rabu itu.
Beliau menyatakan telah mengarahkan kementerian pengangkutan untuk membatalkan kontrak dan menyenaraihitamkan Italian-Thai Development, serta mendakwa syarikat tersebut di mahkamah.
“Ini adalah perkara yang mengejutkan orang awam dan menyebabkan risiko besar terhadap harta benda serta keselamatan rakyat,” katanya.
Keretapi Negeri Thailand (SRT) juga memaklumkan bahawa mereka sedang menyaman Italian-Thai Development.
Syarikat tersebut menyatakan kekesalan selepas bencana kereta api pada hari Rabu dan menjanjikan pampasan kepada waris mangsa yang maut serta cedera.
Syarikat itu juga bertanggungjawab ke atas pembinaan sebuah pencakar langit di Bangkok yang runtuh Mac lalu semasa gempa bumi, sedangkan tiada bangunan lain di bandar itu yang tumbang.
Tahun lalu, presiden syarikat tersebut serta beberapa pereka dan jurutera telah didakwa atas tuduhan kecuaian profesional berhubung insiden berkenaan.





























