
Dua cedera selepas sebuah GWM Haval H6 dinaiki terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 60 meter berhampiran Boh Tea Centre, Cameron Highlands, pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kemalangan dilaporkan jam 3.50 petang itu melibatkan lima penumpang termasuk pemandu.
Menurutnya, dua daripadanya terdiri seorang lelaki dan seorang wanita dewasa mengalami kecederaan.

“Susulan panggilan kecemasan berhubung kejadian, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands ke lokasi kira-kira 12 kilometer dari balai untuk bantuan menyelamat.
“Operasi menyelamat segera digerakkan untuk membawa mangsa naik ke tempat selamat menggunakan alat pengusung,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan sebelum diserahkan kepada pihak kesihatan untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli mengesahkan berhubung kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan itu terbabas ke dalam gaung dipercayai akibat kegagalan brek.































