Lebih 75 ribu Xiaomi SU7 diserah pada Q1, sasar 350 ribu unit kenderaan pada 2025!

35

Xiaomi Corporation telah menunjukkan pertumbuhan yang signifikan dalam segmen perniagaan Kenderaan Elektrik (EV) pintar mereka.

Pada suku pertama 2025 (Q1 2025), pendapatan daripada EV pintar, AI, dan inisiatif baharu lain mencatatkan pertumbuhan yang kukuh, dengan jumlah hasil mencapai RMB18.6 bilion (RM10.94 bilion).

Dalam tempoh ini, penghantaran kenderaan siri Xiaomi SU7 berjalan dengan stabil, mencatatkan sejumlah 75,869 unit yang dihantar.

Kumpulan komited untuk terus meningkatkan pengeluaran dan menetapkan sasaran tinggi untuk menghantar 350,000 unit kenderaan sepanjang tahun 2025.

Bagi menyokong pertumbuhan ini, Xiaomi terus memperluaskan rangkaian jualan dan perkhidmatannya.

Sehingga 31 Mac 2025, Xiaomi telah membuka 235 pusat jualan EV pintar di 65 bandar di tanah besar China.

Peningkatan berterusan dalam kemampuan penghantaran EV Xiaomi telah menghasilkan penghantaran kumulatif melebihi 258,000 unit sejak diperkenalkan, dengan penghantaran bulanan melebihi 20,000 unit selama enam bulan berturut-turut.

Pada bulan April, Xiaomi SU7 berjaya menduduki tempat teratas dalam jualan untuk semua model yang berharga melebihi RMB200,000 (RM117,862).

Xiaomi SU7 – Langkah pertama ke pasaran EV

Xiaomi SU7 diperkenalkan secara rasmi di China pada 28 Disember 2023.

Model ini menandakan kemasukan Xiaomi ke pasaran EV dengan reka bentuk yang elegan dan teknologi canggih.

Siri SU7 menawarkan dua pilihan rangkaian kuasa utama:

  • SU7 Standard (RWD): Menggunakan motor belakang tunggal yang menghasilkan 299 ps (220 kW) dan 400Nm tork.
  • Dikuasakan pek bateri 73.6 kWj, memberikan jarak pandu 668 km mengikut kitaran CLTC (China Light-Duty Vehicle Test Cycle).
  • SU7 Max (AWD): Ini adalah varian pacuan semua roda (AWD) yang menampilkan persediaan motor berkembar.
  • Menghasilkan sejumlah 673 ps (495 kW) dan 838Nm tork.
  • Dilengkapi pek bateri 101 kWj dan mampu mencapai jarak pandu 800 km mengikut kitaran CLTC.
  • Pecutan 0-100 km/j untuk SU7 Max adalah dalam 2.78 saat, dengan kelajuan tertinggi 265 km/j.

Xiaomi YU7: SUV Mewah Berprestasi Tinggi

Berikutan kejayaan SU7, Xiaomi telah memperkenalkan model SUV mewah berprestasi tinggi mereka, iaitu Xiaomi YU7 pada 23 Mei 2025.

Model ini direka untuk meluaskan kehadiran Xiaomi dalam sektor EV premium.

Xiaomi YU7 ditawarkan dalam tiga varian utama, masing-masing dengan konfigurasi rangkaian kuasa yang berbeza:

  • Varian Asas (RWD): Menggunakan motor belakang tunggal dengan output 310 ps (228 kW) dan 385Nm tork.
  • Dilengkapi dengan pek bateri LFP (lithium iron phosphate) 75 kWj, menawarkan jarak pandu 600 km mengikut kitaran CLTC.
  • Varian Jarak Jauh (RWD): Dikuasakan oleh motor belakang yang sama tetapi dipadankan dengan pek bateri 101 kWj.
  • Jarak pandu sehingga 835 km mengikut kitaran CLTC.
  • Varian Prestasi Tinggi (AWD): Ini adalah model pacuan semua roda yang dengan motor berkembar, menghasilkan jumlah kuasa 690 ps (507 kW) dan 866Nm tork.
  • Menggunakan pek bateri 101 kWj dan mempunyai jarak pandu 750 km mengikut kitaran CLTC.
  • Pecutan 0-100 km/j bagi dalam 3.23 saat.

Pelancaran model-model terkini Xiaomi jelas menunjukkan komitmen syarikat untuk menjadi pemain utama dalam pasaran EV, terutamanya dalam segmen premium.

Sebagai contoh, Xiaomi SU7 Ultra yang dilancarkan pada Februari telah mendefinisikan semula pasaran EV premium dengan harga bermula dari RMB500,000 (RM294,656.50).

Selain itu, pengenalan Xiaomi YU7 turut mengukuhkan lagi kehadiran syarikat dalam sektor ini.

Dengan pelaburanΒ penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang besar dan strategi inovasi yang berterusan, Xiaomi terus membina reputasi kukuh sebagai peneraju teknologi dalam industri automotif.

Gambaran Keseluruhan Prestasi Kewangan Kumpulan (Q1 2025)

Secara keseluruhan, Xiaomi Corporation mencatatkan prestasi kewangan yang cemerlang pada suku pertama 2025.

Pendapatan Kumpulan mencapai RMB111.3 bilion (RM65.59 bilion), melonjak 47.4% tahun ke tahun (YoY) dan melebihi RMB100 bilion untuk suku kedua berturut-turut.

Keuntungan bersih diselaraskan juga menyaksikan peningkatan yang signifikan, mencapai rekod RMB10.7 bilion (RM6.3 bilion), melonjak 64.5% YoY dan buat pertama kalinya melebihi RMB10 bilion.

Prestasi ini mengatasi jangkaan pasaran dan menandakan permulaan yang kukuh bagi Xiaomi pada tahun 2025.

Perbelanjaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Kumpulan juga meningkat, mencapai RMB6.7 bilion (RM3.95 bilion) pada Q1 2025, naik 30.1% YoY.

Komitmen ini selaras dengan rancangan Xiaomi untuk melabur RMB200 bilion (RM117.86 bilion) dalam (R&D) sepanjang lima tahun akan datang, dengan tumpuan untuk membina “benteng teknologi” di sekitar inovasi cip, AI, dan sistem operasi.

Kredit gambar: Xiaomi

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here