Insentif RM15 pergerakan luar waktu puncak di Pelabuhan Klang

175

Kementerian Pengangkutan mengumumkan dua inisiatif baharu bagi mengurangkan kesesakan jalan raya dan risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat yang menuju ke Pelabuhan Klang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata antara langkah utama ialah pemberian insentif waktu luar puncak kepada pengangkut barangan atau haulier yang memilih untuk memasuki Pelabuhan Klang di luar waktu puncak, iaitu antara jam 8 malam hingga 8 pagi.

“Setiap pergerakan dua hala yang dilakukan pada waktu luar puncak akan diberi insentif sebanyak RM15, manakala pergerakan satu hala pula akan menerima RM7.50.

“Kos insentif itu ditampung melalui caj akses terminal (TAC) sebanyak RM10 yang akan dikenakan ke atas pengangkut barangan yang memasuki pelabuhan pada waktu puncak antara jam 8 pagi hingga 8 malam.

“TAC dan insentif ini dikecualikan pada hari Ahad dan cuti umum,” katanya. 

Inisiatif itu diluluskan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan yang pada Khamis.

Tambah beliau, satu lagi langkah yang diluluskan ialah pemberian tempoh simpanan percuma tambahan kepada pengimport dan pengeksport yang memindahkan sekurang-kurangnya 50 peratus pergerakan pengangkut barangan ke luar waktu puncak sebelum atau pada 1 Julai 2025.

 

“Sekiranya syarat ini tidak dipenuhi, insentif itu boleh ditarik balik dan tempoh simpanan percuma akan dikurangkan,” jelasnya.

Ketika ini, tempoh simpanan percuma kontena adalah sehingga empat hari sebelum caj penyimpanan dikenakan.

Tambah Anthony, peningkatan 9 peratus dalam pengendalian kontena import dan eksport di Pelabuhan Klang pada tahun lalu telah menyebabkan lebih 70 peratus pergerakan pengangkut barangan tertumpu pada waktu puncak, sekali gus memberi tekanan kepada infrastruktur jalan raya.

Bagi menangani isu tersebut, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) telah menubuhkan satu pasukan petugas khas pada 7 Januari lalu untuk menganalisis corak trafik dan mencadangkan langkah penyuraian pergerakan kenderaan berat.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kerajaan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan kelancaran operasi logistik negara,” katanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here