MOT kaji kaedah pembangunan terminal ketiga di Pulau Carey

15

Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang memperhalusi kaedah pembangunan terminal ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey (JPPC).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata selepas kaedah itu diteliti secara menyeluruh, langkah seterusnya ialah membentangkannya untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri.

Secara prinsip, MOT sudah mengenalpasti keperluan untuk mempertingkatkan kapasiti masa hadapan Pelabuhan Klang.

“Ia antara lain melalui pembesaran terminal kontena di Pelabuhan Barat dan perancangan pembangunan terminal ketiga di Pulau Carey sebagai pendekatan jangka panjang.

“Pulau Carey dikenal pasti sebagai lokasi yang sesuai untuk pembinaan terminal baharu berdasarkan kedudukannya yang strategik di Selat Melaka dengan kedalaman semula jadi sedalam 18 meter yang sesuai untuk kapal-kapal kargo besar bersaiz ultra.

“Sehubungan itu , MOT melalui Jawatankuasa Pemandu Perancangan Pembangunan Terminal Ketiga JPPC sedang memperhalusi kaedah pembangunan terminal ketiga pelabuhan di pulau berkenaan sebelum mencadangkan hala tuju seterusnya untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis dipaparkan di laman sesawang Parlimen.

Loke menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang memintanya menyatakan status terkini perancangan pembangunan Pelabuhan Ketiga di Pulau Carey.

Selain itu, Amirudin turut bertanya mengenai garis masa yang ditetapkan bagi Pelabuhan Ketiga agar meningkatkan potensi Malaysia untuk menjadi hab kargo Asia Tenggara.

Dalam pada itu, Loke berkata, pembangunan Fasa Pertama terminal ketiga di Pelabuhan Klang di Pulau Carey dijangka dilaksanakan dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here