PMX : Thailand jamin projek pelabuhan, jambatan darat libatkan Malaysia

1125

Rancangan Thailand membina pelabuhan dan jambatan darat yang memintas laluan perkapalan di Selat Melaka sekaligus memberi manfaat kepada Malaysia khususnya kawasan Utara Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memastikan Malaysia menerima manfaat dan terlibat dalam projek tersebut.



Beliau berkata Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin turut menyuarakan pandangan dan memberi jaminan untuk melibatkan Malaysia dalam projek itu. 

“Jambatan darat itu tentunya masih di peringkat awal, tapi dalam perbincangan (dengan Srettha) memang akan libatkan Malaysia dan akan memberi manfaat kepada Malaysia terutama utara Semenanjung.

“Bagi kita ada faedah (projek itu) dan kita akan memanfaatkan kemudahan di situ dan sama ada kita menyertai atau ada ekuiti itu masih terlalu awal untuk dibincangkan.

“Tetapi semangat yang ditunjukkan Perdana Menteri Thailand, dia kata kami akan memastikan Malaysia akan mendapat manfaat dan terlibat dalam projek,” katanya selepas lawatan kerja sehari di Sadao, Wilayah Songkhla, Thailand.

Pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, baru-baru ini, Srettha membangkitkan semula idea projek yang melibatkan kos RM131 bilion menerusi pembinaan pelabuhan baharu Ranong di barat dan Chumphon di Timur yang akan dihubungkan melalui landasan kereta api atau jalan.

Projek sejauh 90km itu dijangka memendekkan perjalanan menerusi laut selama empat hari dan kos dijimatkan 15 peratus antara Teluk Siam dan Laut Andaman.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here