
Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori pengadun konkrit di Jalan Lunas-Bandar Permata di Kulim, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda 100 disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala pemboncengnya dikejarkan ke hospital dalam keadaan cedera.
Kedua-dua mangsa berusia 17 tahun dan merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Serai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki mangsa bergerak dari arah Pekan Lunas menuju ke Taman Lagenda.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah lori pengadun konkrit yang dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah sama dipercayai sedang membelok ke simpang kiri untuk ke tapak pembinaan di Pekan Lunas.
“Motosikal mangsa yang berada terlalu hampir di belakang lori gagal mengelak lalu terperosok ke bahagian tayar belakang sebelah kiri kenderaan berat itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

































