
Proton e.MAS 7 menamatkan perjalanan bersejarah sejauh 10,432km merentasi sembilan buah negara ASEAN sebagai sebahagian daripada perjalanan ASEAN Unity Drive (2025).
Misi selama 22 hari yang dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) itu merentasi sempadan Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Filipina, Malaysia Timur
(Sarawak dan Sabah), Brunei, Indonesia dan Singapura sebelum kembali ke tanah air.
Pada awalnya, perjalanan itu menyasarkan 9,000km namun peserta menambah jarak perbatuan sejauh 1,400km.
“Memandu lebih 10,000km merentasi sembilan buah negara tanpa sebarang masalah bateri memang satu pencapaian yang sangat membanggakan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang.
Proton e.MAS 7 mengharungi pelbagai jenis jalan dan cuaca namun sistem bateri yang cekap tinggi mampu menempuh perjalanan jauh setiap hari tanpa sebarang penurunan prestasi atau keselamatan.
“Semasa dalam perjalanan, ada beberapa laluan yang mencabar disebabkan keadaan jalan yang teruk, dan ada juga laluan yang jauh dari tempat pengecasan.
“Kami pernah sampai ke satu situasi di mana jarak ke stesen pengecas lebih jauh daripada baki jarak perjalanan kereta.
“Jadi kami berhenti di sebuah kedai kopi dan menggunakan pengecas mudah alih untuk tambah bateri supaya boleh sampai ke stesen pengecas tersebut,” kongsi salah seorang peserta Mohd Adib Mohd Azam.
KEKANGAN STESEN PENGECASAN
Walaupun kekangan stesen pengecasan terutamanya kawasan luar bandar seperti di Laos tidak menghalang buat pasukan meneruskan perjalanan.
Pemandu e.MAS 7 terpaksa bergantung kepada aplikasi tempatan dan mencari lokasi pengecas terdekat.
Peter Hugh Davis, pelakon dan atlet seni mempertahankan diri campuran berkongsi susulan kekangan berkenaan mereka menggunakan sumber tenaga rumah penduduk.
“Di Laos contohnya, apabila stesen pengecasan sukar untuk dicari atau tidak beroperasi
pada waktu yang diperlukan, kami menggunakan pengecas mudah alih yang disambungkan terus ke soket rumah. Mujur penduduk setempat sangat membantu.
“Bila perjalanan jauh, kami perlu rancang dengan teliti, berhenti semalaman dan cas penuh untuk sambung pemanduan hari esoknya. Situasi ini berlaku agak kerap, disebabkan hampir setiap hari kami pandu jarak jauh tanpa henti selama berminggu-minggu,” katanya.
Manakala Muhammad Taufiq Mohd. Zin sudah menjangkakan perjalanan dari Laos ke Kemboja akan menjadi mencabar kerana stesen pengecas seterusnya dari Pakse ke Krong Kracheh berjarak sejauh 356km.
“Walaupun jarak itu masih dalam kemampuan kenderaan, tetap ada rasa risau jika tidak cukup bateri.
“Keadaan jalan dan pemanduan pula sentiasa berubah, itu yang buatkan perjalanan ini lebih mencabar,” ujarnya.