
PRO-NET telah menghantar sebanyak 2,716 unit Proton e.MAS 7 kepada pelanggan seluruh Malaysia dan pasaran eksport dalam tempoh empat bulan.
Secara purata satu unit e.MAS 7 telah dimiliki oleh rakyat Malaysia pada setiap jam sejak permulaan penghantaran Januari lalu.
Sebanyak 863 unit (pasaran lokal dan eksport) e.MAS 7 berada di atas jalan raya pada bulan April 2025 sahaja dan kereta elektrik (EV) itu mengekalkan penguasaan pasaran sebanyak 26 peratus di Malaysia untuk empat bulan berturut-turut.
“Kami amat berterima kasih kepada semua para pelanggan atas keyakinan berterusan yang diberikan.
“Hakikatnya, satu unit telah terjual pada setiap jam membuktikan bahawa rakyat Malaysia bersedia untuk melangkah ke arah masa depan mobiliti elektrik bersama Proton e.MAS 7,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang.
Dengan permintaan yang semakin meningkat, PRO-NET terus memperluas jaringan pengecasannya melalui Peta Pengecasan Langsung Bersepadu yang kini mencatat lebih 2,500 titik pengecasan dan meliputi lebih 90 peratus kawasan di seluruh negara.
Bagi pemilik e.MAS 7 yang tinggal di kondominium atau pangsapuri, mereka juga tidak perlu risau kerana lebih 1,000 titik pengecasan sudah tersedia di 397 lokasi kediaman seluruh Malaysia.
Semua ini boleh diakses melalui sistem navigasi kereta dan aplikasi Proton e.MAS.