
Proton e.MAS terus mengukuhkan penguasaan dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) negara apabila merekodkan lebih 60 peratus daripada keseluruhan pendaftaran EV di Malaysia.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, jenama itu merekodkan 27,403 pendaftaran domestik, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai jenama EV nombor satu negara.
Prestasi itu dipacu oleh Proton e.MAS 5 yang menerajui segmen EV, manakala e.MAS 7 kekal sebagai SUV EV paling laris dan e.MAS 7 PHEV mendominasi segmen PHEV.

Momentum kukuh itu menyusuli pencapaian bersejarah bulan lalu apabila Proton e.MAS buat julung kalinya melepasi 6,000 pendaftaran dalam tempoh sebulan.
Secara keseluruhan tahun ini, Proton e.MAS merekodkan 27,856 pendaftaran merangkumi 18,014 unit e.MAS 5 dan 4,278 unit e.MAS 7 termasuk pasaran eksport, serta 5,562 unit e.MAS 7 PHEV di pasaran domestik, sekali gus menyumbang 32.5 peratus bahagian pasaran xEV Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, pencapaian melebihi 60 peratus bahagian pasaran amat bermakna, namun kejayaan sebenar terletak pada keyakinan rakyat Malaysia beralih kepada mobiliti elektrik.
“Sebagai jenama EV nasional, peranan kami bukan sekadar menambah EV di jalan raya, tetapi memastikan rakyat mempunyai ekosistem, kemudahan dan infrastruktur untuk menikmati pengalaman EV dengan lebih mudah dan yakin,” katanya.

Seiring peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, PRO-NET terus memperkukuh ekosistem pemilikan menerusi 60 pengedar, 46 pusat servis dan 10 pusat Badan dan Cat di seluruh negara.
Akses pengecasan turut diperluas menerusi Peta Pengecasan Langsung Bersepadu yang tersedia dalam setiap kenderaan dan aplikasi Proton e.MAS, dengan capaian kepada lebih 4,700 titik pengecasan atau lebih 90 peratus infrastruktur awam negara.
Bagi pelanggan di kediaman bertingkat tinggi, Proton e.MAS menawarkan kadar khas RM0.63/kWh sehingga 31 Disember 2026 di lebih 1,500 titik pengecasan di 500 kediaman yang mengambil bahagian, hasil kerjasama dengan ChargeSini, JomCharge, Charge+, Time Charge N Go dan RExharge.
Dari aspek pembuatan, semua model dan varian Proton e.MAS kini dipasang secara CKD di kilang EV Proton di Automotive High Tech Valley, Tanjung Malim, yang menyokong pembangunan keupayaan tempatan dan rantaian bekalan EV.

PRO-NET turut memperkukuh bakat tempatan apabila 37 juruteknik daripada 25 pengedar bertauliah memperoleh pensijilan EV Tahap 2 menerusi TVETMARA pada Ogos lalu, selain melaksanakan Program Juruteknik Bertauliah e.MAS dan Penasihat Servis Bertauliah e.MAS.
Kesediaan selepas jualan diperkukuh dengan 98.8 peratus alat ganti biasa tersedia di seluruh rangkaian bertauliah bagi mengurangkan masa henti kenderaan.
Usaha itu selaras dengan Pelan Mobiliti Rendah Karbon dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dalam menyokong masa depan mobiliti mampan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap EV serantau.
































