
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai reaksi parti terhadap keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas cadangan peletakan jawatan berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Menurutnya, pada masa sama, anggota Kabinet dan Timbalan Menteri daripada DAP serta mereka yang memegang jawatan lain dalam kerajaan akan kekal dalam jawatan masing-masing buat sementara waktu bagi memastikan kestabilan politik terjamin.
Menurutnya, pendirian DAP diterjemahkan melalui peletakan jawatannya sebagai anggota Jemaah Menteri dan beliau akan mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Menjawab soalan sama ada peletakan jawatan itu muktamad atau masih terbuka kepada rundingan, Anthony berkata, keputusan itu sudah dibuat dan beliau akan mengemukakan peletakan jawatan.
“Saya telah katakan bahawa saya mengemukakan cadangan ini kepada mesyuarat CEC tadi dan telah pun dibincangkan dan kita membuat keputusan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai reaksi parti terhadap apa yang telah pun berlaku,” katanya.
Mengenai perancangan Kementerian Pengangkutan selepas peletakan jawatannya, beliau berkata kementerian itu akan terus berfungsi seperti biasa dan perancangan serta projek yang sudah dibuat akan diteruskan.
Katanya, beliau memerlukan sedikit masa untuk menguruskan beberapa perkara yang masih tertunggak dalam kementerian sebelum berbincang dengan Perdana Menteri, namun tempoh berkenaan tidak akan lama.
“Perancangan yang telah pun dibuat, projek-projek yang telah pun dilaksanakan akan akan diteruskan. Sebab Kementerian tidak berhenti berfungsi apabila Menteri letak jawatan,” katanya.
Anthony berkata, keadaan sama boleh berlaku sekiranya Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan atau berlaku pertukaran Menteri.
Beliau turut menjelaskan keputusan tidak meletakkan semua anggota Jemaah Menteri daripada DAP adalah bagi mengelakkan kerajaan tumbang dan tidak memberi ruang kepada pihak lawan menggugat kestabilan politik negara serta kerajaan pimpinan Anwar.
“Kalau semua letak jawatan sekarang ini, mungkin kerajaan akan tumbanglah. Ini yang diinginkan oleh lawan kita. Kita tak nak memberi peluru ini kepada pihak lawan,” katanya.































