
PT Mitsubishi Motors Krama Yudha Sales Indonesia (MMKSI) melancarkan versi naik taraf Xpander dan Xpander Cross baru-baru ini.
Model berkenaan menerima kemas kini pada bahagian luaran dan dalaman agar kekal relevan dan segar di pasaran.
“Kami dengan bangga memperkenalkan model terbaru, dari kendaraan andalan kami yang telah lama dipercaya, pertama kali dilancarkan di Indonesia sebagai MPV yang mengubah pasar pada tahun 2017, Mitsubishi Xpander,” kata Presiden Direktur MMKSI, Atsushi Kurita.
Tambah beliau, Xpander tampil dengan imej dinamik dan elegan dengan kemasan baharu pada gril, tambahan bingkai hitam pada lampu depan, skirting aero perak hitam, rekaan semula bampar, lampu kabus dan rim baharu.
Xpander juga mendapat sentuhan baharu dalam kabin misalnya kemasan hitam, kerusi fabrik, stereng baharu, kluster instrumen digital 8 inci baharu dan unit utama 10-inci bersama monitor keliling.
MPV tujuh kerusi itu juga didatangkan dengan enam beg udara dan Active Yaw Control. Pada acara berkenaan Mitsubishi juga memperkenalkan Xpander varian baru Exceed Tourer.
“New Exceed Tourer hadir sebagai evolusi varian Exceed. Penambahan pelbagai ciri peralatan meningkatkan kenyamanan berkendara serta memberi tampilan luaran yang lebih bergaya,” katanya.
Manakala Xpander Cross terbaru pula didatangkan dengan gril mesh, plat skid, lampu nyala siang (DRL), signal baharu berterusan, rim aloi 17-inci rekaan baharu dan bampar belakang baharu.
Sementara itu, kabinnya pula mendapat sentuhan hitam dan burgundy, kemasan kulit sintetik dengan pelindung pemanas, kluster instrumen 8-inci dan skrin hiburan 10-inci.
Mitsubishi Xpander menggunakan enjin 1.5L MIVEC DOHC yang menghasilkan kuasa 105 PS dan tork 141 Nm serta tersedia dalam transmisi manual 5-kelajuan dan CVT.
Harga Xpander dan Xpander Cross Facelift:
-
Xpander Cross Premium CVT: Rp 364,200 (RM 94,692)
-
Xpander Cross MT: Rp 338,000 (RM 87,880)
-
Xpander Ultimate CVT: Rp 337,800 (RM 87,828)
-
Xpander Ultimate MT: Rp 322,500 (RM 83,850)
-
Xpander Exceed Tourer CVT: Rp 297,900 (RM 77,454)
-
Xpander Exceed Tourer MT: Rp 288,700 (RM 75,062)
-
Xpander GLS CVT: Rp 279,100 (RM 72,566)
-
Xpander GLS MT: Rp 270,100 (RM 70,226)