
Tiga lelaki diberkas kurang 24 jam selepas melarikan sebuah Honda Civic RS di sebuah pusat cuci kereta di Oakland, Seremban, pada Isnin.
Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 34 hingga 48 tahun itu ditahan di kawasan Cheras, Selangor bersama kenderaan yang dilaporkan hilang pada hari sama.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian berlaku pada jam 10 pagi sebelum mangsa tampil membuat laporan polis sekitar jam 2.30 petang.
“Suspek dikatakan bertindak mengambil kunci kereta itu di sebuah pusat cuci kenderaan lalu melarikan kereta pengadu.
“Bertindak atas maklumat, pada hari sama sekitar jam 5.30 petang, sepasukan pegawai dan anggota dari unit risikan Bahagian Siasatan Jenayah berjaya menangkap suspek,” katanya menerusi kenyataan.
RAMPAS SEBUAH HILUX CURI
Beliau berkata, melalui tangkapan itu, polis turut berjaya merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada 16 Mei lalu.
“Polis turut merampas peralatan khas untuk mencuri kenderaan seperti mesin programmer, peralatan pembuka kunci tambahan, mesin jammer, 12 nombor plat kenderaan, beberapa kunci kenderaan serta pelbagai beg tangan berjenama.
“Hasil pemeriksaan lanjut juga berjaya merampas tujuh peket disyaki dadah jenis syabu, heroin dan pil yaba,” jelasnya.
Tambahnya, semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai 77 rekod jenayah lampau serta dua rekod dikehendaki atas kesalahan mencuri kenderaan mewah di Selangor.
“Seorang lagi suspek pula mempunyai 61 rekod jenayah lampau dan masih dikehendaki atas kesalahan cubaan membunuh di Bentong, Pahang.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan reman selama empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek turut terlibat dalam 13 kes kecurian kenderaan mewah di sekitar Seremban, Kepong, Klang Selatan, Sentul, Subang Jaya, Petaling, Melaka Tengah dan Batu Pahat.