
BMW XM berdepan dengan nasib yang tidak menentu dan mungkin jualannya terpaksa dihentikan terlebih awal berbanding perancangan asal.
Sepanjang tahun 2025, BMW hanya menjual sebanyak 7,608 unit SUV rupa pelik BMW XM, menjadikannya model yang paling lambat terjual.
Apa yang lebih menyedihkan, BMW XM masih ketinggalan di belakang model Z4 yang sudah pun dihentikan produksinya tahun ini.
Tahun 2026 pula menyaksikan permintaan terus merosot 22.4% kepada 2,816 unit.
Biarpun ia tidak dipasarkan sebagai sebuah model jualan tinggi, tetapi angka yang terlalu rendah itu memungkinkan jualannya bakal dihentikan lebih awal daripada jangkaan.
Menurut laporan Automotive News, masa depan XM semakin kabur apabila model itu tidak mendapat tempat di pasaran China.
Ini kerana ketika awal pelancaran, BMW menjangkakan 23% pembeli datang dari negara tersebut.
Malah, jualan BMW XM juga tidak memberangsangkan di pasaran terbesar Amerika Syarikat.
BMW juga dilapor tidak menguji sebarang model prototaip XM versi facelift di jalanan walaupun sudah empat tahun model ini dilancarkan di pasaran.
Ini memberikan petunjuk bahawa BMW mungkin akan terus menghentikan penawaran XM dan tidak menggunakan platform baharu Neue Klasse untuk model generasi baharu.
Sekiranya berita ini benar menjadi kenyataan hujung dekad ini, BMW XM akan menyertai beberapa model lain yang sudah terkubur seperti BMW Z4, BMW 8 Series.
Model i4 sedia ada pula akan digantikan dengan sedan i3 serba baharu, diikuti dengan ketibaan model iX5 dan iX7.
Laman Automotive News juga mendakwa model 2 Series Active Tourer juga sedang menghampiri penghujung kitarannya.
Walaupun XM dianggap secara rasmi sebagai model M yang berdikari, BMW masih berjaya mencapai penjimatan kos melalui perkongsian komponen.
Ini kerana XM itu sendiri menggunakan platform CLAR yang sudah terbukti, diikuti dengan unit rangkaian kuasa V8 PHEV yang dikongsi dengan model M5 dan varian XM50e yang menggunakan enjin enam-silinder PHEV yang digunakan pada model PHEV lain.
Mungkin kerana sifat model XM itu sendiri yang terlalu kecil volumnya sehinggakan ia tidak layak untuk mendapat model pengganti baharu.



































