
BYD Racco menerima lebih 1,000 tempahan dalam tempoh dua minggu selepas pelancaran rasmi di Jepun yang mana varian tertinggi 300 Premium menyumbang sebanyak 80 peratus.
Sementara varian 300 Plus dan 200 pula masing-masing menyumbang sebanyak 14 peratus dan 6 peratus. Syarikat pengeluar China itu menyasarkan penerimaan tempahan sebanyak 10,000 unit menjelang hujung tahun ini.
Kei Car pertama BYD itu rasmi memasuki pasaran Jepun pada 28 Julai lalu pada harga bermula JPY 2.145 juta (RM55,036) termasuk cukai. Selepas subsidi kerajaan sebanyak JPY 150,000 (RM3,848), versi asas dijual di bawah JPY 2 juta.
Berdasarkan laporan Nikkei, BYD Racco telah mencatatkan sebanyak 1,002 tempahan setakat 9 Ogos lalu.

Di samping itu, Nikkei melaporkan 35.7 peratus pembeli memilih Racco sebagai kenderaan tambahan, manakala 35.7 peratus lagi bagi menggantikan kenderaan sedia ada. Pembeli kereta pertama pula merangkumi 26.8 peratus daripada keseluruhan pelanggan.
BYD Racco merupakan kenderaan pacuan roda hadapan dengan reka bentuk badan berkotak. Ia mempunyai ukuran 3,395 mm panjang, 1,475 mm (lebar), dan 1,800 mm (tinggi) dengan jarak roda sepanjang 2,520 mm.
Kereta elektrik (EV) kompak itu menawarkan radius pusingan 4.8 meter dengan konfigurasi empat tempat duduk serta ruang bagasi seluas 280 liter.
Ia didatangkan dengan dua pilihan bateri LFP berkapasiti 22.4 kWh dan 35.84 kWh yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik dengan output maksimum 47kW (63hp) dan tork 160Nm. Selain itu, jarak pemanduan mampu mencecah antara 210km hingga 320km (bergantung kepada pilihan bateri).
Varian terendah BYD Racco 200 menyokong pengecasan pantas DC 35.8kW menggunakan port pengecasan standard CHAdeMO. Varian dengan bateri lebih besar pula menyokong kuasa pengecasan puncak sehingga 49.7kW.
Racco didatangkan standard dengan kawalan kruise adaptif (ACC) dan sistem brek kecemasan autonomi (AEB). Pada bahagian papan pemuka, ia dilengkapi skrin sentuh 10.1-inci serta sistem audio sehingga enam pembesar suara.































