
Meskipun Toyota terus mencatatkan penurunan jualan keseluruhan di pasaran China namun Corolla Cross muncul sebagai satu-satunya model enjin pembakaran dalaman (ICE) yang berjaya menembusi jualan kenderaan penumpang 10 teratas bagi bulan Julai.
Berdasarkan data pasaran terbaharu daripada Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA), Toyota Corolla Cross menduduki tangga ke-10 dengan jualan sebanyak 14,510 unit.
Manakala selebihnya dikuasai oleh Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) yang sebahagian besarnya merupakan Kenderaan Elektrik Bateri (BEV).

Posisi pertama diduduki oleh Geely Geome Xingyuan (Geely E2/Proton e.MAS 5) dengan jualan sebanyak 32,306 unit.
Walaupun Xingyuan berjaya mengekalkan kedudukan teratasnya sejak tahun lalu, ia kini berhadapan dengan persaingan sengit daripada Leapmotor.
Model A10 (B03X) mengikuti rapat dibelakang dengan angka jualan 26,424 unit. Bagi mengekalkan momentum itu, Leapmotor dijangka memulakan pelancaran model A05 (B03) iaitu sebuah model yang diposisikan untuk menawarkan nilai harga lebih baik berbanding A10.
Tesla Model Y pula berada di kedudukan ketiga dengan jualan sebanyak 25,158 unit. Menariknya, Model Y kekal sebagai kenderaan paling mahal dalam senarai sepuluh teratas tersebut, dengan jualan bermula CNY263,500 (RM159,796).
Berikut senarai 10 teratas jualan kenderaan penumpang bagi bulan Julai di China :
- Geely Xingyuan : 32,306 unit
- Leapmotor A10 : 26,424 unit
- Tesla Model Y : 25,158 unit
- Xiaomi SU7 : 21,044 unit
- Fang Chengbao Ti 7 : 20,320 unit
- BYD Yuan Up : 20,275 unit
- Changan Qiyuan Q05 : 18,871 unit
- Li Auto i6 : 15,420 unit
- Sea Lion 06 : 15,395 unit
- Toyota Corolla Cross : 14,510 unit
































