
BYD rasmi memperkenalkan Seal 06 (2027) di China menerusi 12 konfigurasi berbeza dengan dua pilihan rangkaian kuasa iaitu versi elektrik sepenuhnya (EV) serta plug in hibrid DM-i.
Varian EV dijual pada julat harga antara CNY 109,900 hingga CNY155,900 (RM66,658-RM94,560), manakala model DM-i ditawarkan pada harga lebih mampu milik iaitu bermula dari CNY99,900 hingga CNY141,900 (RM60,593-RM86,068).
Bahagian hadapan Seal 06 menampilkan lampu utama LED dwikanta “Wave Star River” serta saluran udara 3D baharu pada bahagian bampar. Profil sisinya pula menggunakan kemasan hitam pada tiang A, B, dan C.
Daripada segi dimensi ia memiliki panjang 4,870mm, lebar (1,890mm), dan tinggi (1,495mm) serta jarak roda 2,820 mm iaitu 30mm lebih panjang.

Manakala bahagian dalam sedan itu menampilkan rekaan ruang pemandu berkonsepkan balutan. Bagi varian lebih tinggi balutan kulit lembut menggantikan kemasan plastik keras sebelumnya.
Bahagian papan pemuka dilengkapi dengan skrin tengah berputar adaptif bersaiz 15.6-inci secara standard serta kelompok instrumen digital berukuran 8.8-inci.
Varian tertinggi turut ditambah dengan paparan W-HUD bersaiz 29-inci bagi menghasilkan pengalaman tiga skrin.
Kenderaan ini dikuasakan oleh sistem DiLink terbaharu yang dihubungkan dengan perintah suara pintar DeepSeek, yang menyokong perbualan berterusan serta pengecam suara empat zon.
Tombol penukar gear tradisional telah digantikan dengan tuil gear elektronik pada stereng manakala konsol tengah kini menawarkan ruang simpanan barang yang lebih luas, panel pengecasan pantas tanpa wayar 50W serta pemegang cawan berkembar.
Sistem Bantuan Pemandu
Konfigurasi gred tinggi menampilkan sistem berasaskan LiDAR yang menyokong teknologi ‘God’s Eye 5.0’, sekali gus membolehkan pengoperasian City Navigation Pilot (CNOA) dan Highway Navigation Pilot (HNOA).
Urusan parkir turut dipermudahkan menerusi ciri Automatic Parking Assist (APA), Automated Valet Parking(AVP), serta Remote Parking Assist (RPA).
Rangkaian Kuasa & Prestasi :
-
DM-i PHEV: Menggunakan enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi generasi kelima dengan kuasa maksimum 74kW. Ia dipadankan bersama transmisi hibrid EHS serta menawarkan dua pilihan motor tunggal di bahagian hadapan berkuasa 120kW (161hp) atau 175kW (235hp). Bergantung kepada pek bateri, jarak tempuhnya adalah 230km atau 320km (CLTC), jumlah jarak pemanduan keseluruhan boleh mencecah sehingga 2,370km.
-
EV: Terdapat dalam dua pilihan jarak pemanduan iaitu 530km dan 630km. Motor yang dipertingkatkan ini mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 240kW (322hp), sekali gus membolehkan pecutan 0-100 kmj dicapai dalam masa hanya 5.9 saat. Ia dilengkapi dengan Bateri Blade generasi kedua serta platform binaan voltan tinggi 800V.
Kedua-dua konfigurasi menggunakan suspensi hadapan jenis MacPherson dan suspensi belakang bebas five-link.
Varian trim tertinggi dilengkapi dengan sistem kawalan redaman elektromagnet DiSus-C bagi pelarasan suspensi secara masa nyata. Jarak kelegaan tanah Seal 06 adalah setinggi 135 mm.































