
Polyphony Digital, syarikat pembangun permainan simulasi Gran Turismo mengumumkan kerjasama dengan syarikat gergasi teknologi Xiaomi.
Menerusi kerjasama ini, Xiaomi bakal menjadi syarikat China yang pertama membuat kemunculan di dalam francais Gran Turismo 7.
Xiaomi juga merancang untuk terus berkolaborasi dengan Gran Turismo bagi membangunkan kereta konsep Xiaomi Vision Gran Turismo (VGT) yang boleh ‘dipandu’ secara maya.
Selain daripada itu, sedan pantas Xiaomi SU7 juga dijangka akan muncul di dalam GT7 sebagai sebahagian daripada kemas kini berkala permainan tersebut.
Kazunori Yamauchi sebagai produser Gran Turismo berkata, “Saya berasa amat gembira dapat memulakan kerjasama dengan Xiaomi.
“Dalam industri automotif China yang pesat membangun, kami melihat Xiaomi sebagai pengeluar baharu beralih daripada menghasilkan peranti pintar dan perkakasan rumah, peranti boleh dipakai, mencipta ekosistem pintar yang merangkumi segenap aspek kehidupan seharian, sehinggalah kepada menghasilkan sebuah kereta SU7.
“Dalam masa yang sama, (Xiaomi) menghasilkan SU7 Ultra Prototype, dan dengan melihat keupayaan mereka yang dapat memecahkan rekod di litar lagenda Nurburgring, saya amat terharu dengan keberanian, semangat ingin tahu, semangat dan ketekunan untuk menjadikannya satu realiti.
“Ini semua selari dengan pemikiran kami di Gran Turismo dan Polyphony Digital,” ujarnya.
Lei Jun selaku pengasas, pengarah dan CEO Kumpulan Xiaomi berkata, “Saya mempunyai pandangan yang sama seperti Kazunori Yamauchi, dengan falsafah agung untuk mencipta masyarakat manusia yang lebih baik menerusi penggunaan teknologi.
“Di Xiaomi, kami berazam untuk memanfaatkan teknologi bagi membolehkan manusia menikmati kehidupan yang indah.
“Siri Gran Turismo sangat terkenal dengan pengalaman dan kualiti tahap tertinggi, jadi saya amat gembira apabila Xiaomi SU7 Ultra dapat ditonjolkan di dalam Gran Turismo, dan berharap agar lebih ramai pemain GT dan pencinta budaya kereta meluangkan masa untuk merasai pemanduan berprestasi tinggi pintar yang mewakili Xiaomi.”