
Kawasaki baru-baru ini dinamakan sebagai rakan pembekal motosikal rasmi bagi kejohanan perlumbaan basikal Tour de France.
Motosikal Kawasaki juga akan digunakan secara rasmi untuk acara perlumbaan utama lain yang dianjurkan oleh Amaury Sport Organisation (ASO) di Eropah sehingga tahun 2027.
Model motosikal yang bakal ditonjolkan pada setiap acara perlumbaan ialah jentera adventure tourer Kawasaki Versys 1100.
Menurut laman RideApart, sebanyak 45 unit Kawasaki Versys 1100 akan dikerahkan untuk tugasan seperti liputan media, penguatkuasaan keselamatan, sistem bekalan semula dan juga sokongan logistik.
Kawasaki Versys 1100 dilancarkan di Eropah pada tahun lepas, membawakan perubahan dari segi mekanikal.
Enjin 1,099 cc itu kini mampu menjana kuasa 133 hp dan 112.5 Nm, jauh lebih bertenaga berbanding penggunaan enjin 1,043 cc pada model terdahulu (118 hp/101.7 Nm).
Ia turut mendapat kelengkapan seperti sistem ABS, kawalan cengkaman, sistem suspensi elektronik, serta pengurusan tunggangan di selekoh yang dibantu oleh Unit Pengukuran Inersia (IMU).