
Litar Nurburgring sekali lagi menjadi tempat untuk Xiaomi membuktikan kehebatannya mengalahkan nama-nama terkemuka.
Dengan Ren Zhoucan sebagai pemandu uji utama, SUV Xiaomi YU7 GT berjaya merekodkan catatan masa 7:34:931 di Nordschleife mengalahkan Audi RS Q8 (7:36.698) dan Porsche Cayenne Turbo GT Coupe (7:38.925).
Unit YU7 GT yang digunakan untuk catatan masa terpantas itu sebenarnya sedikit berbeza dengan apa yang boleh dibeli di pusat pameran.
Menurut Xiaomi, ia dilengkapi dengan “Track Professional Package” yang merangkumi tayar semi-slick 265 mm depan dan 325 mm belakang serta arka roda belakang yang dilebarkan.
Selain itu, pihak Nurburgring menyarankan Xiaomi untuk memasang roll cage penuh, tempat duduk perlumbaan jenis bucket, abah-abah enam titik, serta beberapa panel dalaman yang dibuang bagi mengimbangi berat roll cage.
Perkara tersebut dibuktikan menerusi video onboard di mana SUV tersebut dipasang dengan kelengkapan tersebut manakala tempat duduk belakang turut dibuang.
Xiaomi YU7 GT digerakkan oleh tetapan motor elektrik berkembar (386 hp depan, 604 hp belakang) dengan jumlah kuasa keseluruhan 990 hp.
Ia juga dibantu dengan sistem suspensi pintar dengan talaan khusus untuk laluan Nurburgring, lengkap dengan pelarasan mampatan, lantunan dan ketinggian.


































