
Penunggang motosikal Britain, Talan Skeels-Piggins mencipta sejarah apabila menjadi individu lumpuh pertama yang memecahkan halangan kelajuan 322 km/j.
Kejayaan ini sekali gus menamatkan penantian selama 11 tahun untuk merealisasikan rekod tersebut.
Bekas atlet Paralimpik Musim Sejuk itu mencatatkan kelajuan 322.2 km/j menggunakan Suzuki Hayabusa yang dilengkapi pengecas turbo dalam acara Straightliners World Speed Record.
Cubaan tersebut dibuat di Lapangan Terbang Elvington berhampiran York, Britain pada bulan lalu.
Skeels-Piggins yang merupakan bekas atlet ski menuruni bukit beralih ke dunia perlumbaan motosikal dua roda pada 2012.
Ketika itu, beliau menjadi penunggang paraplegik pertama di dunia yang bersaing bersama pelumba motosikal tanpa kecacatan fizikal.
Lumpuh dari bahagian dada ke bawah akibat kemalangan pada tahun 2003, Skeels-Piggins akhirnya mencipta rekod baharu itu pada percubaan kelima selepas berdepan cuaca yang mencabar serta tiupan angin kencang.
Kejayaan tersebut menandakan kemuncak kepada perjalanan panjang yang bermula pada tahun 2015.
Pada ketika itu, beliau merekodkan kelajuan maksimum 175 mph (281.6 km/j) dengan sebuah Hayabusa standard.
Sepanjang 11 tahun berikutnya, Skeels-Piggins berdepan pelbagai halangan termasuk kekangan kewangan, menjadikan rekod dunia yang diraih pada tahun ini lebih bermakna dan berbaloi.
Untuk mencipta rekod terbaharu ini, beliau bekerjasama dengan jurutera merangkap pelumba motosikal, Lee Baxendale.
Pasangan itu menghidupkan semula projek berkenaan dengan Baxendale menghabiskan masa lebih 600 jam untuk membina, mengubah suai, dan menguji Suzuki Hayabusa turbo khas untuk memecahkan rekod tersebut.
Skeels-Piggins berkata, “Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang memainkan peranan dalam usaha memecahkan rekod ini. Kami tidak pasti sama ada sesi percubaan boleh diteruskan kerana keadaan cuaca, malah kami juga tidak tahu kelajuan yang mampu dicapai.
“Namun, berjaya mencapai 200 mph adalah sesuatu yang luar biasa.
“Motosikal itu berfungsi dengan sangat baik, manakala kru saya dan pasukan Straightliners menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi serta memberikan sokongan penuh. Tanpa mereka, kejayaan ini tidak mungkin menjadi kenyataan.”






























