Bakar Proton X50, polis tahan pasangan kekasih

1

Sepasang kekasih ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian khianat melibatkan sebuah Proton X50 yang dibakar di Lorong Laksamana Cheng Hoe, Bukit Cina, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui talian MERS 999 pada 11 November lalu pada jam 2.40 pagi.

Menurutnya, siasatan mendapati insiden berlaku antara jam 1.45 hingga 1.50 pagi sebelum rakaman CCTV menunjukkan sebuah kenderaan berlegar di kawasan perumahan itu. 

“Salah seorang suspek lelaki dilihat turun dari kenderaan dan berjalan ke arah rumah mangsa sebelum membaling satu objek yang telah dinyalakan ke halaman hadapan rumah. Tindakan itu menyebabkan kebakaran sebuah kenderaan Proton X50 milik mangsa.

“Dipercayai insiden itu mempunyai kaitan dengan kegiatan ah long yang mengupah suspek untuk bertindak demikian,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, hasil risikan selama hampir dua minggu membawa kepada penahanan seorang wanita berusia 26 tahun dan teman lelakinya berusia 36 tahun dalam operasi berasingan di Kajang dan Serdang pada Isnin lalu kira-kira jam 8.30 malam.

Jelasnya, hasil tangkapan itu membawa kepada rampasan kenderaan serta pakaian yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah berkenaan.

“Siasatan mendapati wanita itu bekerja di sebuah kedai elektrik di Serdang, manakala teman lelakinya yang pernah bekerja sebagai pemandu di kedai sama telah berhenti sebelum mula mengambil upah melakukan kegiatan khianat api dan simbah cat sejak tiga bulan lalu.

“Bayaran yang diterima adalah antara RM1,000 hingga RM1,500 untuk membakar rumah dan antara RM300 hingga RM500 untuk menyimbah cat pada rumah sasaran,” katanya.

Beliau berkata, dengan penahanan pasangan berkenaan, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes khianat api dan satu kes simbah cat di sekitar Melaka Tengah sejak Julai hingga November 2025.

Kedua-dua suspek kini direman sehingga 2 Disember 2025 untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here