
Keasyikan pemanduan atau yang disebut sebagai sheer driving pleasure sentiasa membentuk DNA BMW dan Z4 adalah lambang kepada falsafah ini.
Sejak sekian lama, Z4 sentiasa menarik perhatian pelanggan dengan gabungan unik di antara reka bentuk, pengalaman pemanduan tulen dan dinamika sporti.
Satu yang menarik ialah Z4 generasi ketiga (G29) dijadikan objek untuk Toyota menghasilkan model ikonik Supra A90.
Supra bakal ditamatkan dan begitu juga Z4 dan BMW mengakhirinya dengan Z4 Final Edition yang berpotensi untuk menjadi kereta koleksi.
Setakat ini tiada pemakluman mengenai pengganti Z4 G29 yang diperkenalkan pada 2018.
Pelanggan hanya mempunyai tempoh pesanan yang singkat untuk Z4 Final Edition, yang akan bermula pada akhir Januari 2026.
Gaya Luaran
Ciri luaran utama yang membezakan BMW Z4 Final Edition adalah warna eksklusif Frozen Matt Black dan hanya tersedia untuk model ini.
Warna ini menonjol apabila digabungkan dengan kemasan luaran M High-gloss Shadowline, yang merupakan ciri asas bagi semua model Final Edition.
Selain Frozen Matt Black, pelanggan boleh memilih warna lain tanpa kos tambahan. Turut menarik perhatian ialah sistem brek M Sport dalam warna merah kilatan tinggi.
Dalaman Riasan Merah
Bahagian dalaman diserlahkan dengan jahitan kontras merah yang dipilih khas untuk Final Edition.
Jahitan ini turut digunakan pada papan pemuka, konsol tengah, kemasan pintu dan kerusi M Sport yang dibaluti Kulit Vernasca/Alcantara.
Satu lagi elemen menarik perhatian ialah stereng M Alcantara dengan jahitan kontras yang sepadan.
Pelapik ambang pintu (door sill strips) model ini turut mempunyai cetakan khas.
Varian dan Harga
Final Edition tersedia untuk semua varian BMW Z4, termasuk sDrive20i (197 hp), sDrive30i (258 hp) dan model teratas M40i yang dikuasakan enjin enam silinder sebaris (340 hp).
Bagi model Z4 sDrive30i dan Z4 M40i dengan Pakej M Sport sebagai kelengkapan standard, kos tambahan ialah 4,200 euro (RM20,105.36).
Bagi model BMW Z4 sDrive20i, kos Final Edition adalah lebih tinggi iaitu 7,400 euro (RM35,423.73).
Pakej M Sport (yang diwajibkan) perlu ditambah untuk sDrive20i, kerana tidak termasuk sebagai ciri standard.



































