Projek MEX II : Abu Sahid, Wee Leong didakwa lagi pertuduhan berjumlah RM754.6 juta

47

Pengarah syarikat pembinaan lebuh raya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed dan bekas pengarah syarikat pembinaan, Datuk Yap Wee Leong didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen hari ini.

Ini melibatkan keseluruhan 19 pertuduhan membabitkan pecah amanah, penggubahan wang haram dan dokumen palsu bernilai keseluruhan RM754.6 juta melibatkan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II).

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Abu Sahid, Wee Leong hadiri pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Kredit Foto : Kosmo

Pada prosiding itu, Abu Sahid, 74, yang dibenarkan duduk di kerusi roda di luar kandang tertuduh, didakwa satu pertuduhan pecah amanah berjumlah RM145.5 juta milik Maju Holdings Sdn Bhd yang dibayar ke akaun milik sebuah syarikat pembinaan antara 12 Januari dan 13 Jun 2018 di sebuah cawangan bank di Taman Serdang Perdana.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda.

Wee Leong, 68, pula didakwa sembilan pertuduhan melibatkan telah memperdayakan seorang ejen bank dengan mengemukakan dokumen tuntutan palsu bernilai RM220.7 juta bagi kerja-kerja pembinaan jalan sedangkan kerja itu tidak pernah dilaksanakan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Seksyen 14 di sini antara 9 November 2017 hingga 26 Jun 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Dia juga didakwa sembilan lagi pertuduhan memindahkan hasil aktiviti haram berjumlah RM388.3 juta menggunakan akaun dan 26 cek daripada akaun syarikat pembinaan sebelum ini kepada akaun miliknya dan tiga syarikat lain di cawangan bank di Country Heights, Kajang antara 21 Jun 2017 hingga 3 Ogos 2018.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib memohon kesemua pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes yang telah disebut sebelum ini.

“Tarikh ditetapkan di Mahkamah Sesyen tersebut sebelum ini adalah pada 3 November depan.

“Kami juga memohon jaminan menggunakan pakai telah ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini iaitu Abu Sahid sebanyak RM1.5 juta dan RM1 juta bagi Wee Leong bersama masing-masing seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” jelasnya.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Abu Sahid dan Wee Leong pula diwakili peguam Abdul Hakeem Aiman tidak membantah cadangan tersebut.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kesemua permohonan pihak pendakwaan.

Kosmo! pada 8 September lalu melaporkan Abu Sahid mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM300 juta dan 13 pengubahan wang haram membabitkan lebih RM100 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Wee Leong juga membuat pengakuan sama bagi 17 pertuduhan dokumen palsu membabitkan nilai RM314.4 juta.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here