
Keengganan 19 pemilik tanah di Kampung Jawa, Klang mengosongkan kediaman melibatkan jajaran 150 meter menjadi punca utama projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang kini siap lebih 90 peratus masih tergendala.
Lebuhraya WCE merupakan projek infrastruktur utama negara melibatkan rangkaian sepanjang 233km yang menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak dan berfungsi sebagai laluan alternatif ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Konflik melibatkan kawasan dan sebilangan kecil penduduk yang enggan mematuhi arahan ditetapkan bukan sahaja menyebabkan kerja-kerja pembinaan di Seksyen 3 tergendala lebih 20 bulan bahkan menjejaskan projek keseluruhan rangkaian lebuh raya yang diumum pada 2012 dengan jangkaan kos RM7.07 bilion.

Sehingga September lalu, daripada keseluruhan 11 seksyen WCE sepanjang lebih 200km itu, lapan seksyen dibuka kepada orang ramai iaitu 96 peratus melibatkan seksyen 1, 2, 5 dan 6 di Selangor serta seksyen 8 hingga 11 di Perak.
Ketika ini, masih terdapat tiga seksyen yang belum dibuka iaitu Seksyen 3 (Seri Andalas ke Lebuhraya Persekutuan) dan Seksyen 7 (Assam Jawa ke Tanjung Karang), manakala Seksyen 4 (Lebuhraya Persekutuan ke NKSB) telah siap sejak 2019 tetapi masih belum dibuka kerana menunggu sambungan ke Seksyen 3.
Sekiranya isu tanah di Seksyen 3 dapat diselesaikan segera, Lebuhraya WCE itu boleh disiapkan sepenuhnya menjelang hujung 2026 mengikut rancangan.
Malah, pampasan kepada pemilik tanah sebanyak 75 peratus juga telah dibayar dan hak miliknya turut dipindahkan secara sah kepada Kerajaan Persekutuan melalui Borang K di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 apabila proses undang-undang selesai sejak 2023 lalu.
TERIMA PAMPASAN RM9.8 JUTA

Menurut laporan Sinar Harian, dipercayai 33 pemilik tanah dianugerahkan jumlah pampasan sebanyak RM9.8 juta berdasarkan penilaian rasmi Pentadbir Tanah Negeri Selangor melalui Borang H selepas pendengaran tanah.
Mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960, pampasan dinilai berdasarkan kategori tanah, lokasi, kegunaan semasa dan nilai pasaran semasa, namun dalam isu pengambilan Kampung Jawa melibatkan tanah berstatus pertanian turut menikmati pampasan lebih daripada kadar munasabah.
Langkah yang diambil ini jelas lebih adil daripada syarat minimum undang-undang sedia ada agar kelebihan dapat dinikmati bekas pemilik tanah yang terlibat bagi tujuan projek pembinaan infrastruktur tersebut.
Secara keseluruhan, lebih ribuan lot tanah telah diambilalih sepanjang jajaran Lebuhraya WCE di Selangor dan Perak serta semua pampasan telah dibayar mengikut penilaian rasmi Pentadbir Tanah.
Jumlah pampasan di Kampung Jawa juga setara kaedah penilaian di kawasan lain, malah turut mengambil kira pertimbangan sewajarnya atas dasar ehsan, namun masih ada segelintir pihak yang masih berkeras, sekali gus merencatkan usaha pembinaan lebuh raya.
Selain itu, laluan tidak boleh diubah tanpa melalui proses penggazetan baharu yang akan memakan masa bertahun selain berdepan kos lebih tinggi.