Polis tumpas sindiket penipuan alat ganti ‘Fly By Night’

31

Polis menumpaskan satu sindiket dikenali sebagai “Fly by Night” yang menjalankan aktiviti penipuan pembelian alat ganti kenderaan dan jentera berat dengan nilai kerugian keseluruhan dianggarkan RM273,676.70.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata kejayaan itu dicapai hasil risikan dan operasi khas dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (PK) Selangor dan Perak.

“Hasil operasi di sekitar Cheras, Kuala Lumpur dan Semenyih, Selangor pada 29 September lalul, polis bertindak menahan seorang lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki tempatan.

“Menerusi operasi susulan pada 2 Oktober di Kajang, Selangor pula, polis menahan tiga lagi suspek dan dua individu yang ditahan semula untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media, pada Selasa. 

Beliau berkata pada hari sama, JSJK Sarawak turut menahan seorang wanita tempatan di Kuching, dipercayai terlibat dalam penyediaan resit pemindahan palsu, sekali gus menjadikan keseluruhan enam individu telah ditahan berusia lingkungan 34 hingga 52 tahun.

“Mereka juga didapati mempunyai pelbagai rekod kesalahan dadah serta jenayah,” katanya.

Yahaya berkata sindiket itu dipercayai terlibat dalam lapan kes penipuan di Pahang, Selangor dan Perak antara Jun hingga September lepas.

“Bagi kes di Maran pada 23 September, mangsa kerugian sebanyak RM76,950, kes di Jerantut pada 24 September melibatkan kerugian RM23,710 manakala di Bentong pada 27 Ogos sebanyak RM6,055,” katanya.

Beliau berkata antara barangan dirampas termasuk track link, track shoe, track roller, gegancu, cap getah syarikat, 42 tong minyak enjin pelbagai jenama, bateri kenderaan, minyak brek dan pelbagai peralatan lain.

Tambah beliau, sindiket dipercayai menggunakan modus operandi membuat pesanan barangan melalui aplikasi WhatsApp sebelum menghantar resit pemindahan wang palsu (IBG/GIRO) kepada mangsa.

“Mangsa kemudian menyerahkan barangan melalui syarikat perkhidmatan penghantaran untuk dihantar dan hanya menyedari ditipu selepas wang tidak diterima dalam akaun,” katanya. 

Yahaya berkata suspek yang ditahan disyaki menjadi orang tengah, manakala dalang utama dikenali sebagai “Lee” atau “Wilson” sedang diburu polis.

Beliau berkata suspek terlibat masih ditahan di IPK Selangor untuk siasatan mengikut lanjut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kredit Foto : Sinar Harian

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here