
Chery Malaysia memperkenalkan aplikasi mudah alih baharu – CarLinko – bagi meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan hibrid plug-in (PHEV).
Aplikasi ini ditawarkan eksklusif kepada pemilik model PHEV jenama berkenaan, sekali gus membolehkan pengguna mengurus kenderaan dengan lebih mudah melalui telefon pintar.
Ketika ini, barisan PHEV Chery di Malaysia merangkumi Chery TIGGO 7 PHEV dan Chery TIGGO 8 PHEV yang dilancarkan tahun lalu.
Kedua-dua model ini direka untuk menawarkan keseimbangan antara prestasi elektrifikasi dan kecekapan bahan api, sesuai untuk penggunaan harian di bandar serta perjalanan jarak jauh.
Dengan bateri dicas penuh dan tangki petrol diisi, kenderaan ini mampu mencapai jarak pemanduan gabungan sehingga 1,200 kilometer.

Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang memaklumkan, pembangunan aplikasi CarLinko bertujuan memudahkan penggunaan teknologi PHEV dalam kehidupan seharian.
Katanya, aplikasi itu membolehkan pemilik mengawal beberapa fungsi utama kenderaan termasuk keselesaan kabin, pengecasan serta maklumat kenderaan secara lebih lancar dan pintar.
Aplikasi CarLinko menawarkan pelbagai kemudahan harian, termasuk fungsi kawalan penghawa dingin dari jarak jauh bagi memastikan kabin berada pada suhu selesa sebelum pemandu memasuki kenderaan.
Selain itu, pengguna juga boleh menjejak lokasi kenderaan diparkir dan ia membantu menjimatkan masa dan mengurangkan kesulitan terutama di kawasan parkir besar.
Dari aspek pengurusan tenaga, aplikasi ini menyokong ciri penjadualan pengecasan bateri di rumah.
Pemilik boleh menetapkan waktu pengecasan mengikut keperluan, sekali gus membantu mengoptimumkan penggunaan elektrik dan memaksimumkan penjimatan kos bahan api.
CarLinko turut menyediakan akses maklumat kenderaan secara masa nyata. Pengguna boleh menyemak jarak perjalanan, baki jarak pemanduan, tahap bateri, paras petrol serta tekanan tayar walaupun berada jauh dari kenderaan.
Data penggunaan bahan api dan status kenderaan juga boleh dipantau bagi memastikan prestasi serta keselamatan sentiasa berada pada tahap optimum.
Bagi aspek penyelenggaraan pula, ia dipermudahkan melalui aplikasi ini yang membolehkan pemilik menyemak jadual servis serta rekod penyelenggaraan secara terperinci.

Ciri ini membantu memastikan pemilikan jangka panjang lebih teratur dan mudah dipantau.
Aplikasi CarLinko ditawarkan secara percuma kepada semua pemilik Chery PHEV.
Bagi pembeli baharu, pengaktifan akan dilakukan ketika proses penyerahan kenderaan.
Pemilik sedia ada pula boleh mengunjungi pusat pengedar Chery berhampiran untuk proses pemadanan yang selamat.
Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Apple App Store bagi peranti iOS dan Google Play Store untuk pengguna Android.





























