
Tindakan seorang lelaki menyimpan 400 liter diesel untuk kegunaan sendiri membawa padah apabila stor penyimpanan bahan api itu diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat di kawasan Jalan Airport Kudat pada Selasa.
Dalam kejadian itu, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut berhubung penyimpanan diesel sebagai kegunaan persendirian secara tidak sah.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KDPN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, serbuan dibuat menerusi Ops Tiris 4.0 yang sedang dilaksanakan di daerah itu.
“Anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Kudat dalam tugasan harian telah menyerbu sebuah stor simpanan di kawasan tersebut sebelum menemui dua tong yang mengandungi 400 liter diesel.
“Pemeriksaan lanjut, diesel tersebut disimpan di stor tersebut tanpa kebenaran untuk kegunaan sendiri. Seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik stor turut ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu kesalahan berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran yang sah.































