Utama Berita Automotif Honda Vario 125 Street rasmi lancar, harga RM7,468

Honda Vario 125 Street rasmi lancar, harga RM7,468

17

Boon Siew Honda rasmi melancarkan Honda Vario 125 Street baharu ke pasaran tempatan pada harga cadangan RM7,468 seunit.

Dipertontonkan secara eksklusif di stor pengalaman pop-up khas di REXKL, skuter itu memperkenalkan perspektif segar terhadap mobiliti bandar serta menggabungkan reka bentuk berinspirasikan jalanan yang berani dengan praktikaliti harian.

Vario 125 Street baharu menampilkan rupa yang unik menerusi bar hendal naked yang dipadankan dengan meter kelajuan digital jenis terapung. 

Ia masih mengekalkan identiti hadapan berbentuk V ikonik Honda namun diperbaharui dengan penampilan yang lebih sporty dan progresif.

Vario 125 Street dilengkapi pencahayaan jenis LED penuh untuk lampu hadapan, belakang, dan signal bagi penglihatan yang lebih baik dalam semua keadaan tunggangan.

Reka bentuk keseluruhannya termasuk rim yang mengikut warna set penutup memberikan imej skuter yang muda, ceria, dan hip.

Skuter tersebut dikuasakan oleh enjin 125cc sejukan cecair dengan teknologi Enhanced Smart Power (eSP) berkuasa 8.5 kW @ 8,500 rpm dan tork 11.9Nm @ 5,000rpm. 

Kenderaan cekap tenaga (EEV) itu juga dilengkapi dengan Idling Stop System (ISS),  Honda Smart Key, ruang simpanan bawah pelana sebesar 18 liter dan kunci brek parkir. 

Ditawarkan dengan warna badan ungu dan putih, Vario 125 Street akan berada di semua cawangan Honda Impian X dan pengedar sah bermula Mei 2026 dengan waranti pembuatan selama dua tahun atau 20,000km, yang mana terdahulu.

Di samping itu, artis ilustrator grafiti tempatan, Katun telah memberikan sentuhan seninya pada reka bentuk cover set khas Vario 125 Street.

Set penutup eksklusif tersebut akan dipamerkan sepanjang acara pop-up “Ini Era Vario Aku” untuk menunjukkan ekspresi gaya hidup belia dan interpretasi budaya masa kini. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here