Isu tanah WCE, penduduk Kampung Jawa akhirnya selesai

41

Konflik antara penduduk Kampung Jawa dan projek Seksyen 3 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di Klang selama hampir enam tahun akhirnya selesai apabila kerja-kerja perobohan kediaman dilakukan dalam keadaan aman, pada Selasa.

Menurut Sinar Harian, tinjauan mendapati sebanyak 19 rumah di kawasan seluas 0.73 hektar tersebut mula dirobohkan seawal jam 8 pagi.

Penduduk, P Hamand, 53, berkata, meskipun sebak apabila rumah didiami terpaksa dirobohkan, namun beliau tetap akur dengan keputusan mahkamah.

“Tiada bantahan sebab saya sudah tahu suka atau tidak rumah ini mesti dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek WCE,” katanya. 

Bagaimanapun, Hamand berkata, penduduk tetap berharap kerajaan memberikan kadar pampasan mencukupi bagi memulakan hidup baharu.

“Jika kerajaan negeri masih bertegas dengan pampasan RM200,000, saya akui memang tak cukup.

“Rumah sekarang kalau hendak beli pun lebih RM500,000 dan ini memberi tekanan kepada kami,” katanya.

TIADA RUMAH SEMENTARA

Seksyen 6 WCE

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, walaupun penduduk menghormati keputusan mahkamah, masalah timbul apabila mereka tidak mempunyai rumah sementara untuk didiami.

“Sebelum ini, penduduk masih berharap keputusan mahkamah memihak kepada mereka, namun keputusan tidak memihak dan mereka memohon rumah Smart Sewa yang disediakan kerajaan negeri pada minggu lalu. 

“Permohonan sedang diproses dan saya sudah minta kerajaan negeri percepatkan kelulusan sebab majoriti mereka adalah warga emas dan keluarga B40 yang tiada tempat bergantung harap,” katanya.

Beliau berkata, kawasan rumah penduduk juga melalui proses penandaan semula untuk memastikan hanya struktur yang melibatkan laluan projek dirobohkan.

“Saya turun sendiri kenal pasti rumah-rumah ini kerana ada yang hanya pagar atau dapur sahaja terlibat.

“Saya minta supaya robohkan hanya bahagian yang perlu supaya mereka masih boleh guna rumah sementara menunggu penyelesaian,” katanya.

Menurutnya, daripada dua hektar tanah asal, hanya 0.8 hektar digunakan untuk projek lebuh raya, manakala bakinya akan dipulangkan semula kepada 19 pemilik tanah selepas kerja pembinaan selesai.

“Soalnya bagaimana mereka akan urus baki tiga ekar (1.2 hektar) ini nanti, sama ada hendak bina rumah sendiri atau perlu dijual atau pecahkan lot.

“Semua ini keputusan tuan tanah, namun yang pasti, mereka telah menerima pampasan atas dua ekar (0.8 hektar) yang diambil,” katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, penduduk tidak pernah menghalang projek pembangunan WCE untuk kemudahan pengguna jalan raya pada masa depan.

“Penduduk bukan menolak pembinaan lebuh raya, mereka cuma berjuang untuk pampasan setimpal dan mempertahankan rumah yang telah mereka duduki sejak 60 hingga 70 tahun,” tambahnya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here