
Honda Jepun tidak menyangka sambutan yang diterima untuk model Prelude cukup memberangsangkan.
Dalam tempoh masa sebulan selepas dilancarkan, jumlah tempahan yang diterima melebihi sasaran jualan bulanan sebanyak lapan kali ganda!
Honda pada mulanya menjangkakan 300 orang pembeli setiap bulan, namun dalam tempoh 5 September sehingga 6 Oktober, sebanyak 2,400 tempahan telah diterima.
Sambutan yang cukup kuat itu menyebabkan sesetengah pengedar terpaksa menutup sementara buku tempahan.
Daripada jumlah tersebut, majoriti pembeli terdiri daripada golongan berusia 50-an dan 60-an yang sedang mencari kereta utama baharu atau kereta kedua.
Lebih 60 peratus pembeli gemar memilih warna putih, diikuti kelabu (16 peratus), hitam (11 peratus) dan merah (10 peratus).
Di Jepun, Honda Prelude dijual pada harga bermula dari 6,179,800 yen (RM173 ribu), sementara edisi terhad dua tona Limited Edition berharga 6,480,100 yen (RM181 ribu) sudah pun habis terjual.
Honda Prelude didatangkan dengan tetapan enjin hibrid 2.0 liter, menghasilkan kuasa keseluruhan 200 hp yang dipadankan dengan transmisi eCVT.