#TahukahAnda : Pekerja di Jepun yang tiba awal akan parkir di barisan belakang

44

Di Jepun, terdapat satu fenomena menarik yang mana pekerja tiba lebih awal di pejabat cenderung memilih meletakkan kenderaan di lokasi lebih jauh, malah di bahagian paling belakang kawasan parkir dan kurang strategik.

Hal ini berbeza dengan kebiasaan di Malaysia yang mana kita sering kali berusaha untuk tiba awal di pejabat dengan harapan mendapatkan tempat parkir yang paling hampir dengan pintu masuk.

Meskipun kelihatan sederhana, amalan di Jepun ini mencerminkan nilai-nilai budaya yang mendalam seperti kolektivisme, empati (omoiyari), dan pertimbangan terhadap sesama, berlainan dengan kecenderungan individualistik yang mungkin lebih dominan di tempat lain.

Mungkin terasa ganjil, namun apakah sebenarnya di sebalik budaya memilih ‘parkir belakang’ ini?.

Istilah ‘parkir belakang’ merujuk kepada kebiasaan unik yang diamalkan oleh para pekerja, terutamanya mereka yang sangat komited dan tiba sebelum waktu pejabat bermula.

Di Jepun, ia seolah menjadi satu kesepakatan tidak bertulis bahawa pekerja yang tiba lebih awal akan memarkir kenderaan mereka di lokasi yang agak tersorok atau di bahagian belakang kawasan parkir.

Tindakan ini bukanlah disebabkan oleh kekurangan tempat parkir di bahagian hadapan, melainkan merupakan pilihan yang disengajakan.

Tujuannya agar tempat parkir yang lebih dekat dan mudah diakses tetap tersedia bagi rakan sekerja yang tiba menjelang waktu bekerja atau datang lambat.  

BUDAYA KERJA JEPUN

Fenomena ‘parking belakang’ tidak dapat dipisahkan dari budaya kerja Jepun yang lebih luas, terutamanya konsep gambaru yang bermaksud ‘buat yang terbaik’.

Ia adalah satu etos yang mendorong pekerja untuk berikan segala-galanya, kadang-kadang lebih dari yang dijangka, demi syarikat dan pasukan.

Tiba di pejabat lebih awal merupakan salah satu cara ‘gambaru’ yang mana mewakili komitmen untuk membuat persiapan dan bersedia untuk hari kerja tanpa gangguan.

Selain itu, konsep omoiyari yang diterapkan dalam kalangan rakyat Jepun mendorong kepada budaya berempati dan mempertimbangkan perasaan serta keperluan orang lain, tanpa diminta secara langsung.

Budaya parkir ini adalah contoh nyata dari omoiyari dalam tindakan.

Dengan memilih untuk parkir lebih jauh, karyawan secara sukarela mengorbankan keselesaan peribadi demi memberikan kemudahan buat rakan ofis yang mungkin tiba lebih dekat dengan waktu kerja atau mengalami masalah dalam perjalanan.

Tindakan ini mencerminkan keinginan untuk menjaga harmoni dan menghindari potensi stres atau ketidakselesaan yang mungkin dialami oleh rakan sekerja akibat kesulitan mencari parkir yang strategik.

Selain itu, ia juga kerana kedudukan pangkat yang mana parkir di bahagian depan memang dikhaskan untuk pengurusan atasan atau tetamu penting. Pekerja junior atau pertengahan, secara automatik akan mengelak tempat-tempat ini sebagai tanda hormat pada pangkat dan kedudukan.

Walaupun jarang berlaku kerana budaya Jepun yang sentiasa kerja lebih masa, ada juga pemikiran praktikal di sebalik pilihan ini. Bagi sebahagian orang, parkir di belakang mungkin dianggap lebih memudahkan jika ada keperluan mendesak dan mereka perlu keluar pejabat lebih awal tanpa menarik perhatian banyak orang.

Budaya ‘parking belakang’ ini satu contoh kecil tapi penting yang mana nuansa budaya boleh mempengaruhi tingkah laku harian dalam dunia profesional.

Ia mengingatkan kita, di Jepun dedikasi itu tidak semestinya ditunjukkan dengan cara yang paling menonjol, tetapi selalunya melalui tindakan-tindakan kecil yang penuh pertimbangan dan rasa hormat.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here