Undang-undang baharu dilaksanakan di bandar ini untuk kurangkan kecederaan melibatkan e-skuter

37

Sebuah bandar di Colorado, Amerika Syarikat memperkenalkan undang-undang baharu bagi mengawal penggunaan e-skuter (untuk mobiliti peribadi) terutama di kaki lima.

Peraturan baharu yang diluluskan di bandar Denver itu memerlukan semua e-skuter dilengkapi dengan teknologi GPS untuk mengesan dan menghalang pengguna daripada melalui kawasan yang tidak dibenarkan.

Laman FOX31 Denver melaporkan teknologi tersebut sudah pun mula diuji, namun keberkesanannya belum dapat dikenal pasti.

Menurut jurucakap Distric 10 City Council, Chris Hinds memberitahu FOX31, undang-undang baharu bertujuan untuk menyelamatkan nyawa, memastikan keselamatan pejalan kaki dan menetapkan piawaian nasional standard untuk mobiliti mikro yang bertanggungjawab.

Ini kerana sepanjang tahun 2024, jabatan kecemasan bandar tersebut telah mengendalikan kira-kira 2,000 kes kecederaan melibatkan e-skuter.

Majoriti kes melibatkan tulang patah, luka dan masalah gegaran otak yang disebabkan oleh pelanggaran antara e-skuter dengan pejalan kaki di kaki lima.

Pemilik e-skuter juga dikehendaki untuk menjalani ujian kemahiran sebelum dibenarkan menggunakan kenderaan tersebut buat pertama kali dan pada tahun 2027, Denver akan mewajibkan pengguna untuk meletakkan e-skuter masing-masing di zon yang disediakan.

Undang-undang melibatkan e-skuter ini dilaksanakan secara berbeza di beberapa bandar di seluruh Amerika Syarikat.

Ada sesetengah tempat mengharamkan terus penggunaan e-skuter, manakala sebahagian lain mewajibkan penggunaan helmet dan mengenakan had umur minimum kepada pengguna.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here