
Seorang pekerja subkontrakor maut, manakala rakan sekerjanya cedera selepas kenderaan dinaiki dirempuh sebuah bas henti-henti, BAS.MY di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Awan Biru, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu, mangsa, Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, meninggal dunia di lokasi selepas tercampak keluar daripada Perodua Kembara yang dipandunya.
Rakannya, Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, mengalami luka-luka di badan dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, sebelum kejadian mangsa yang dalam perjalanan dari arah Rembia ke AMJ memberhentikan kenderaan di bahu jalan.
“Tiba-tiba sebuah bas henti-henti bewarna merah jambu yang dalam perjalanan dari Terminal Melaka Sentral ke Jalan AMJ memasuki bahu jalan dan merempuh kenderaan mangsa.
“Akibat rempuhan itu, pemandu Kembara tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya.
Beliau berkata ketika kemalangan cuaca cerah dan tidak hujan manakala pemandu bas berusia 37 tahun ditahan.
Hasil saringan ujian air kencing dilakukan ke atasnya adalah negatif dadah.
“Dalam kes ini terdapat rakaman papan pemuka bas dan akan digunakan bagi membantu siasatan. Kita juga akan membuat permohonan reman lelaki tersebut hari ini,” katanya.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Alor Gajah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada 25 Mei tahun lalu, media melaporkan seorang remaja, Muhammad Harith Muhamad Zaki, 18, maut digilis selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan bas henti-henti di Jalan Pantai Kundor, Alor Gajah.
Pada 6 Jun pula seorang pemuda, Muhammad Aizad Khairil Anwar, 20, maut selepas motosikal yang dia tunggang merempuh bahagian belakang pengangkutan awam itu di Jalan Satu Krubong.
Kerajaan negeri sebelum ini turut mendedahkan tindakan untuk memberhentikan pemandu Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST), BAS.MY yang dikesan bermasalah susulan menerima pelbagai aduan berhubung cara pemanduan yang berbahaya.