
Pada acara Malaysia Autoshow (2025) yang lalu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkongsi kereta elektrik (EV) pertama yang dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat itu berada di tahap terakhir homoglasi.
Zainal Abidin juga menyatakan EV tersebut bakal dilancarkan secara rasmi hujung tahun ini dan menjelang pelancaran model berkenaan beberapa imej intip eMo II dikesan sedang giat menjalani ujian enduran di jalan raya.
Baru-baru ini seorang pengguna Facebook, Iman Ku berkongsi imej sebuah unit prototaip sedang diuji di Putrajaya.
Perkongsian di grup Facebook paultan.org Automotive/Car Discussion Group itu menarik perhatian dan menimbulkan persoalan apabila adanya dua ‘lubang’ atau tebukan yang jelas kelihatan pada bampar belakang sehingga menampakkan komponen di bahagian dalam.
Lubang bulat itu biasanya mempunyai fungsi tertentu, terutamanya untuk tujuan pengujian dan pembangunan.
FUNGSI LUBANG BAMPAR BELAKANG
Kemungkinan ia merupakan titik pemasangan sensor ujian untuk mengumpulkan data berkaitan dinamik kenderaan, prestasi suspensi, atau kestabilan casis dan jurutera sering memasang pelbagai sensor pada bahagian luar kenderaan.
Lubang-lubang ini boleh menjadi titik akses atau pemasangan untuk sensor-sensor tersebut, terutamanya yang berkaitan dengan bahagian belakang kereta.
Selain itu, alat yang dipasang pada bahagian berkenaan berkemungkinan untuk penderia sistem Pemantauan Titik Buta (BSM). BSM ialah ciri keselamatan yang memberi amaran kepada pemandu tentang kehadiran kenderaan lain di bahagian yang tidak kelihatan.
Biasanya ia terletak pada bampar belakang atau panel sukuan kereta. Sistem ini menggunakan sensor radar atau ultrasonik untuk mengesan kenderaan lalu memberi amaran kepada pemandu dengan amaran visual atau bunyi.
Ini membantu mengelakkan kemalangan apabila menukar lorong atau bergabung ke dalam lalu lintas.
Perlu diingat, ini hanyalah spekulasi. Perodua pastinya mempunyai sebab teknikal yang kukuh di sebalik reka bentuk sementara ini.
Imej yang tersebar menunjukkan EV itu memiliki ciri-ciri sebuah SUV kompak yang mana saiznya di atas Perodua Ativa.
Bentuk badan yang moden dan aerodinamik dengan lampu belakang yang kelihatan ramping memberi petanda Perodua serius untuk melangkah ke era mobiliti elektrik.
Sebelumnya, Zainal Abidin berkongsi hasil ujian enduran EV tersebut berupaya menawarkan jarak lebih 400km menggunakan bateri CATL tanpa mendedahkan kapasiti.