
Perodua mendedahkan sebahagian model prototaip kenderaan elektrik (EV) pertamanya di Malaysia Autoshow (2024).
Bakal lancar hujung tahun ini, versi prototaip mendedahkan bahagian dalam dan luaran serta merupakan episod terakhir perjalanan EV nasional tempatan berkenaan sebelum dilancarkan Disember ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata EV 1 berkenaan berada di tahap terakhir homoglasi.
“EV ini akan dipasang di kemudahan baharu BEV di Sungai Choh, Rawang yang mana pemasangan massa bermula September ini dengan kapasiti pengeluaran 500 unit sebulan.
“Cabaran..apabila kita perkenal kenderaan ini dalam mewujudkan eko sistem lokal bagi mendapatkan komponen EV misalnya bateri dan motor secara tempatan.
“Fasa permulaan sudah ada 41 hingga 42 penglibatan vendor dalam membekalkan item komponen tradisional.
“Apabila sudah ada keupayaan sendiri peringkat kedua melibatkan komponen teknikal EV berkaitan bateri, motor dan inverter. Selepas enam bulan pengenalan kenderaan kita akan fokus kepada vendor yang lebih hardcore,” katanya.
Zainal Abidin menambah hasil ujian enduran EV 1 berupaya menawarkan jarak lebih 400km dengan menggunakan bateri CATL tanpa mendedahkan kapasiti.
Jelasnya, Perodua akan menawarkan program sewa bateri secara berasingan bagi EV 1.
“Pertukaran bateri dilakukan hanya dalam tempoh 30 minit di pusat servis Perodua dan sekiranya ada masalah di bawah tempoh yang ditetapkan (mengikut terma dan syarat) akan ditukar tanpa caj.
“Perodua bakal tawar waranti bateri selama 8 tahun bagaimanapun bagi mereka yang mengambil program sewaan bateri selepas 9 tahun akan diganti secara percuma jika ada masalah,” katanya.
Bagaimanapun, perincian sewaan bateri secara berasingan itu masih belum dimuktamadkan namun Zainal Abidin berkata kos sewaan boleh dilakukan bersama pinjaman sewa dan beli.