
Volvo Cars, pengeluar kereta mewah dari Sweden mengumumkan bakal mengurangkan sekitar 3,000 jawatan di seluruh dunia, terutamanya melibatkan kakitangan pejabat.
Walaupun tindakan itu kelihatan agak drastik, tetapi ia dikatakan penting untuk memastikan syarikat terus kuat dan berdaya saing dalam industri automotif yang penuh cabaran ketika ini.
KENAPA VOLVO BUANG PEKERJA?
Pengurangan pekerja secara besar-besaran ini bukan keputusan yang mudah. Ia adalah sebahagian daripada strategi untuk menjimatkan kos sebanyak kira-kira RM9 bilion!. Ada beberapa sebab utama di sebalik langkah ini:
- Kos Operasi Makin Tinggi: Ingin hasilkan kereta, apatah lagi kereta elektrik (EV), memang makan belanja besar. Harga bateri yang melambung naik contohnya beri tekanan pada keuntungan syarikat.
- Permintaan EV Tidak Sekencang Disangka: Walaupun Volvo komited dengan sasaran EV, permintaan untuk BEV tidaklah ‘panas’ seperti yang dijangka. Jadi, syarikat perlu sesuaikan semula strategi.
- Pasaran Tidak Menentu: Ekonomi global yang tidak stabil, keyakinan pembeli yang menurun, dan isu-isu perdagangan (misalnya ancaman tarif) membuatkan pasaran automotif tidak mudah untuk diramal. Ini semua jejaskan jualan.
- Struktur Syarikat Perlu Diperbaiki: CEO Volvo, Hakan Samuelsson, menekankan betapa pentingnya untuk “mengurangkan kos secara penstrukturan” supaya syarikat jadi lebih cekap. Maka, pembuangan kakitangan dengan skop kerja yang bertindih adalah salah satu cara untuk capai matlamat ni.
SIAPA YANG TERKESAN?
Pengurangan 3,000 jawatan ni dijangka memberi kesan kepada kira-kira 15 peratus daripada semua pekerja pejabat di seluruh dunia. Majoriti yang terkesan adalah di Sweden yang mana terletaknya ibu pejabat Volvo Cars.
Selain pekerja tetap, kira-kira 1,000 perunding akan diberhentikan yang kebanyakannya berpangkalan di Sweden dan seperti yang dinyatakan 1,200 pekerja di Sweden dan selebihnya di pasaran global yang lain.
Bilangan khusus pengurangan pekerjaan di semua wilayah akan ditentukan dalam tempoh yang akan datang, setelah syarikat memuktamadkan semakan keseluruhan organisasinya dan menentukan susunan struktur baharu.
Volvo Cars mempunyai matlamat untuk melengkapkan perubahan struktur semasa musim luruh 2025.
Walaupun agak pahit, langkah penjimatan kos ni menunjukkan syarikat sebesar Volvo juga tidak terlepas daripada cabaran yang semakin sengit dalam industri automotif global.
Untuk kekal relevan dan berdaya saing, syarikat perlu sentiasa menyesuaikan diri dan membuat keputusan yang sukar.