
Tiga individu sedang dikesan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka kerana didapati menaiki kenderaan jenis skuter mikro atas jalan raya, lapor Kosmo!
Ini adalah berdasarkan video berdurasi 18 saat seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Timbalan Pengarah JPJ Melaka, Khairul Aswad Abdul Halim berkata, tindakan tersebut adalah satu kesalahan serius dan boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
“Kami memandang serius isu ini dan tidak akan berkompromi terhadap individu yang melanggar undang-undang. Perbuatan menunggang kenderaan mikromobiliti seperti e-skuter dan hoverboard di atas jalan raya melanggar Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333],” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
“Perintah Larangan Kenderaan (Penggunaan Jalan) (Pindaan) 2021 berkuat kuasa sejak 17 Disember 2021 jelas menyatakan beberapa jenis kenderaan mikromobiliti tidak dibenarkan di jalan awam.
“Antaranya e-skuter, hoverboard, monowheel, segway dan basikal elektrik tanpa kelulusan jenis,” katanya.