
Kereta elektrik (EV) pertama Kenya diperkenalkan kepada lokal baru-baru ini dan model itu bakal menyertai salah satu acara off-road paling mencabar di dunia.
Pasukan EV Explorers adalah pihak yang mencipta kenderaan sifar emisi tersebut yang mana akan bertanding dalam acara Rhino Charge hujung tahun ini.
Rhino Charge merupakan sukan permotoran off-road tahunan yang mengumpul dana untuk usaha pemuliharaan badak sumbu.
Selain itu, ia juga menguji ketahanan dan keupayaan trak di landskap Kenya yang paling lasak.
Penyertaan syarikat Kenya itu menandakan yang pertama bagi negara Afrika, menggunakan EV dalam sejarah 35 tahun Rhino Charge.
Sebagai penghormatan kepada warisannya, jip itu dihiasi dengan warna bendera Kenya hijau dan merah.
View this post on Instagram
Bercakap ketika pelancaran, Ketua Pasukan EV Explorers, Richard Kiplagat berkata pasukan itu berhasrat untuk menunjukkan hubungan antara tindakan iklim dan pemuliharaan.
Jurutera Nick Foley menambah ia membuktikan kemampuan EV dalam keadaan lasak boleh memberi inspirasi kepada inovasi selanjutnya dalam teknologi pengangkutan lestari.
Projek itu disokong oleh pelbagai organisasi, termasuk Africa Practice, Base Titanium, Valar, KenGen, KCB, Gulf Energy, Maxxis, Safaricom, Lake Turkana Wind Power Project, Africa Bridge Fund, dan Axum.
Rhino Charge adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Rhino Ark Charitable Trust dan sebanyak 65 kereta bakal mengambil bahagian dengan 13 pusat pemeriksaan dan banyak cabaran di sepanjang laluan.