
Aksi berbahaya seorang lelaki dipercayai bermain mercun dari dalam sebuah kereta yang sedang bergerak mengundang padah selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ramsay Embol berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Sabtu kira-kira jam 12.48 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati insiden berkenaan berlaku di kawasan Elmina Rainforest, Persiaran Ficus, Seksyen U15, di Shah Alam.
“Rakaman video berdurasi 50 saat yang tular menunjukkan seorang lelaki bertindak berdiri melalui bumbung suria sebuah kereta yang sedang bergerak sebelum melepaskan beberapa das mercun ke udara.
“Kejadian dipercayai berlaku pada waktu malam dan kenderaan tersebut dipandu individu lain,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, tindakan suspek itu bukan sahaja membahayakan dirinya sendiri, malah boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Kes disiasat di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 2007.
“Usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-17554394 bagi membantu siasatan,” katanya.





























