
Penunggang p-hailing yang maut dalam kejadian pokok tumbang pada petang Sabtu dikatakan sedang berusaha mengumpul duit kahwin untuk majlis yang dirancang berlangsung pada Disember tahun depan.
Kakaknya, Izzaty Hamidah Sharil, 27, berkata, walaupun adiknya, Muhammad Izzat Daanish Sharil, 22, mempunyai pekerjaan tetap namun masih melakukan pekerjaan sambilan sebagai penghantar makanan.
“Adik buat Grab walaupun sudah ada kerja tetap kerana sedang kumpul duit untuk kahwin tahun depan. Dia juga baru sahaja menghadiri kursus kahwin minggu lepas.
“Dia seorang yang rajin bekerja dan tidak mahu bergantung pada keluarga walaupun kami hanya dua beradik,” katanya.
Dalam kejadian pada Sabtu, mangsa yang menunggang motosikal maut selepas dihempap pokok tumbang ketika melalui Jalan Tun Razak–Ayer Keroh berhampiran Pangsapuri Polis Temenggong, Taman Sentosa, Bukit Baru, sekitar jam 2.30 petang.

Kejadian sama turut menyebabkan dua individu yang menaiki Perodua Axia mengalami kecederaan.
Menceritakan detik cemas itu, Izzaty berkata, dia menerima panggilan daripada ibunya memaklumkan adiknya sudah meninggal dunia akibat dihempap pokok besar yang tumbang secara tiba-tiba.
Katanya, keluarga kini sedang mendapatkan nasihat perundangan bagi mengambil tindakan sewajarnya berhubung insiden tersebut.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lantang pada malam Sabtu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub menggesa, kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap pengurusan pokok susulan beberapa insiden pokok tumbang sebelum ini turut meragut nyawa khususnya melibatkan penunggang motosikal.
“Pada Ogos tahun ini, sepasang adik-beradik yang menunggang motosikal terlibat dalam kemalangan akibat pokok tumbang di Lebuh AMJ berhampiran Kandang, mengakibatkan seorang daripadanya maut manakala seorang lagi cedera parah.
“Kenyataan bahawa cuaca buruk menjadi punca utama kejadian tidak lagi memadai. Sebagai contoh, kejadian kali ini berlaku ketika cuaca berada dalam keadaan sangat baik.
“Kerajaan negeri mesti berhenti memberi alasan dan mula bekerja dengan lebih profesional. Keselamatan rakyat bukan isu yang boleh disapu di bawah karpet setiap kali ribut datang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu menetapkan garis panduan baharu yang mewajibkan penilaian pokok sebelum dan selepas projek pembangunan bagi mengelakkan kerosakan akar akibat kerja utiliti.
“Kemalangan semalam bukan dirancang. Ia bukan ‘bencana alam luar jangka’. Ia adalah kegagalan sistemik berpunca daripada pengurusan pokok yang lemah, tidak menyeluruh dan tidak konsisten.
“Laporan berkala Jawatankuasa Cantasan Pokok juga mesti didedahkan kepada umum. Jika jawatankuasa ini benar-benar berfungsi, tunjukkan datanya,” katanya.






























