
Geely Auto telah melancarkan kereta elektrik bandar Geely EX2, di Ekspo Kenderaan Antarabangsa Thailand ke-42.
Sama seperti Proton e.MAS 5, EX2 menerima sambutan luar biasa dengan pesanan awal dilaporkan melebihi 1,000 unit dalam tempoh tiga hari.
EX2 dibangunkan berasaskan platform canggih Seni Bina Elektrik Pintar Global (GEA), yang direka untuk mobiliti bandar yang cekap, seimbang dan tangkas.
Tidak seperti e.MAS 5 dengan dua jarak pemanduan, EX2 di Thailand hanya ditawarkan jarak tunggal iaitu 325 kilometer (WLTP).
Spesifikasi Teras EX2 PRO & MAX:
- Pacuan/Kuasa: RWD, Kuasa 85 kW, Tork 150 Nm.
- Bateri/Jarak: Bateri LFP 39.4 kWj, Jarak Maksimum (WLTP) 325 km.
- Pengecasan: DC Pantas (30% hingga 80%) dalam 25 minit.
- Harga Promosi: EX2 PRO 399,990 THB (RM51,516), EX2 MAX 429,990 THB (RM 55,381).
Perbezaan harga antara kedua-dua model terletak pada ciri keselamatan dan kemudahan.
EX2 Max tampil dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang lebih lengkap.
Ciri Eksklusif EX2 MAX (Tiada pada PRO):
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Brek Kecemasan Automatik (AEB)
- Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
- Sistem Amaran Penukaran Lorong (LDW)
- Pengecaman Isyarat Trafik (TSR)
- Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (FVD)
Ciri Keselamatan Standard PRO dan MAX:
- 6 Beg Udara
- Amaran Perlanggaran Belakang (RCW)
- Pengesanan Titik Buta (BSD)
- Bantuan Titik Buta (LCA)
- Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
- Amaran Pembukaan Pintu (DOW)
Geely EX2 lwn Proton e.MAS 5
EX2 PRO dan MAX dibekalkan bateri yang sama iaitu 39.4 kWj dan jarak pemanduan 325 km.
Harga jualan PRO ialah 429,990 THB (RM55,381) dan pengguna dapat menikmati harga promosi iaitu 399,990 THB (RM51,516).
Sementara itu, Proton e.MAS 5 Prime dibekalkan bateri 30.12 kWj dengan jarak 225 km. Harga jualan ialah RM59,800 atau RM56,800 sempena pelancaran.
Varian teratas EX2 MAX menggunakan bateri 39.4 kWj dan e.MAS 5 Premium dilengkapi bateri 40.16 kWj.
Menariknya, kedua-duanya menawarkan jarak pemanduan 325 km.
Harga EX2 MAX ialah 459,990 THB (RM59,249), dengan harga promosi 429,990 THB (RM 55,381).
e.MAS 5 Premium pula ditawarkan pada harga RM72,800 atau RM69,800 untuk harga promosi.
Secara ringkas, boleh disimpulkan bahawa harga e.MAS lebih tinggi berbanding EX2 disebabkan persaingan yang lebih sengit di Thailand.
Geely sendiri hadir lewat di Thailand berbanding pengeluar China lain.
Selain itu, perbandingan tidak semudah 1 kepada 1 kerana masing-masing iaitu Geely dan PROTON mempunyai strategi, keupayaan dan kemampuan kewangan berbeza.


































