
Pengguna Laluan Persekutuan FT 001 (Jalan Butterworth ke Ipoh) kini bakal merasai pengalaman pemanduan malam lebih selamat dan selesa menerusi inovasi terkini dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya.
THB Maintenance Sdn Bhd melalui Pejabat Kawasan Kulim-Perai telah mengumumkan penyiapan sepenuhnya projek menurap semula permukaan jalan di Seksyen 756.00 hingga 757.00 (Jambatan Tuanku Abdul Rahman).
Namun, tumpuan utama bukan hanya pada tar baharu, tetapi pada teknologi garisan jalan yang pertama kali diperkenalkan di Jalan Persekutuan di Pulau Pinang!.
Apa Itu PlastiRoute SpotLine? Rahsia di Sebalik ‘Cat Putih Berbentuk Bulat’
Dalam skop kerja mengecat garisan jalan kali ini, THB Maintenance telah memperkenalkan kaedah inovatif yang dikenali sebagai PlastiRoute SpotLine.
Secara visual, garisan jalan yang baru ini kelihatan seperti garisan konvensional. Tetapi apabila dilihat dengan lebih dekat, ia adalah gabungan unik cat berbentuk bulat kecil berwarna putih.
Inovasi ini membawa pelbagai manfaat keselamatan kritikal, terutamanya di laluan utama yang merentasi Seberang Perai, menghubungkan bandar-bandar strategik seperti Butterworth, Perai, Nibong Tebal, dan menjadi penghubung penting ke Sungai Petani dan Ipoh:
- Pantulan Cahaya 3X Ganda Lebih Baik: Garisan berbentuk bulat kecil ini direka untuk meningkatkan pantulan cahaya lampu kenderaan secara drastik. Ketika memandu pada waktu malam atau di bawah hujan lebat, garisan jalan akan ‘bersinar’ dengan lebih jelas, mengurangkan risiko kemalangan akibat jarak penglihatan terhad.
- Amaran Getaran Tayar: Selain cahaya, ia berfungsi sebagai sistem amaran awal. Jika pemandu terkeluar daripada laluan secara tidak sengaja, getaran kecil yang terhasil daripada cat bulat kecil ini akan memberi amaran kepada pemandu melalui tayar, memberi masa untuk kembali ke laluan yang betul.
- Ketahanan dan Keselesaan Jangka Panjang: Dengan penyiapan kerja-kerja penurapan dan pengenalan inovasi tersebut, diharap ia dapat mendatangkan keselesaan dan keselamatan yang berpanjangan buat semua pengguna Laluan Persekutuan tersebut.
Ini adalah langkah besar THB Maintenance dalam memastikan Laluan Persekutuan di Pulau Pinang bukan sahaja dinaik taraf, malah dilengkapi dengan teknologi keselamatan yang terkini.






























